Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Mei - Boost Holdings Sdn. Bhd., cabang perniagaan fintech di bawah Axiata Digital telah memperoleh 68.75% ekuiti dalam syarikat digital Indonesia, PT Creative Mobile Adventure.
Boost Holdings menerusi satu kenyataan memberitahu, pengambilalihan itu dijangka meningkatkan keupayaan tawaran perkhidmatan kewangan digitalnya ke peringkat serantau.
Sebagai rekod, PT Creative Mobile Adventure menjalankan perniagaan pembiayaan model rantaian bekalan syarikat telekomunikasi di bawah jenama KIMO dan adalah pemegang lesen pembiayaan dana digital peer-to-peer yang dikeluarkan secara terhad oleh Otoritas Jasa Keuangan (OJK).
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Holdings, Sheyantha Abeykoon berkata, pemerolehan itu merupakan sebahagian daripada rancangan perkhidmatan kewangan digital pihaknya di rantau ini.
“KIMO berkongsi aspirasi kami dalam memberi sokongan kepada perusahaan mikro melalui perkhidmatan kewangan yang mudah dan pantas dengan mengguna pakai teknologi terkini.
“Tonggak penting ini membolehkan kami meningkatkan operasi secara serantau dengan pantas melalui entiti yang mampan dan mempunyai akses kepada ekosistem pedagang dan peruncit yang lebih besar dan sudah mengenali pembiayaan mikro.
“Indonesia merupakan pasaran yang penting bagi kami. Setakat ini, kami sudah membantu 550,000 perusahaan, dan telah menyalurkan lebih daripada 26,000 pembiayaan sejak 2019 melalui platform rakan kongsi,” jelas Abeykoon dalam kenyataan sama.
Pemerolehan ini akan menjana pertumbuhan Boost Holdings dengan lebih pesat serta memperluaskan capaian dalam kalangan perusahaan mikro dan kecil yang kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan, tambah syarikat itu.
Dalam pada itu, Boost Holdings juga menyediakan rumusan kewangan inklusif serantau untuk segmen yang kurang mendapat perkhidmatan dan disokong oleh pengurusan risiko yang baik dan kekuatan kewangan mantap.
Tawaran rumusan itu dijalankan melalui lebih daripada 60 rakan kongsi ekosistem, tambah Boost Holdings.
Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital dan Pengerusi Boost Holdings, Mohd Khairil Abdullah berkata, perkhidmatan kewangan digital telah menjadi satu keperluan dan bukan lagi sebagai pilihan.
“Sejak 2014, Axiata Digital telah berada dalam posisi untuk membangunkan dan mengembangkan perkhidmatan kewangan digital yang inovatif untuk memberikan nilai nyata kepada pelanggan kami.
“Pemerolehan KIMO telah memperkuatkan cita-cita kami dalam penyediaan Perkhidmatan Kewangan Digital di rantau ini,” katanya lanjut.
Berpandukan penelitian terperinci mengenai keperluan kewangan dan perlindungan segmen yang kurang mendapat perhatian, penyedia perkhidmatan pembiayaan mikro dan insurans mikro Aspirasi di bawah Boost Holdings mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM207 juta untuk mengurangkan masalah kewangan 9,176 perusahaan mikro unik pada tahun lepas. - DagangNews.com