Boost, RHB tekad bina rangkaian penyelesaian perbankan digital mampu milik, mudah diakses | DagangNews Skip to main content

Boost, RHB tekad bina rangkaian penyelesaian perbankan digital mampu milik, mudah diakses

KUALA LUMPUR 30 April - Boost, cabang teknologi kewangan Axiata Group Bhd dan RHB Banking Group (RHB) menyasarkan untuk bersama-sama membina rangkaian penyelesaian perbankan dan kewangan digital mampu milik dan mudah diakses selepas memperoleh lesen bank digital (DBL) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama berkata, perkongsian itu akan mewujudkan akses yang lebih luas kepada keterangkuman kewangan secara digital dalam kalangan segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

 

Perkongsian antara Boost dan RHB untuk membentuk konsortium bank digital diumumkan pada Jun tahun lepas, dengan Boost memiliki pegangan majoriti 60 peratus, dan RHB memiliki baki 40 peratus dalam bank digital itu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, kejayaan mendapatkan lesen itu membuka pelbagai peluang untuk memenuhi keperluan peralihan pendigitalan di seluruh perniagaan syarikat.

 

“Dari satu sudut, kami kini dapat meningkatkan keterangkuman kewangan kepada segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan sebelum ini, seperti komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang gigih bertumbuh, untuk merangsang pemulihan ekonomi negara,” tambahnya.

 

“Pada masa yang sama, kami juga boleh memainkan peranan aktif untuk memenuhi permintaan daripada pangkalan pengguna kami yang semakin berkembang yang kini
mahukan pengalaman lebih menyenangkan dan selamat apabila menggunakan kemudahan perbankan dan kredit.”

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, bank digital akan menjadi pemangkin yang meluaskan keterangkuman kewangan, sejajar dengan misi teras syarikat untuk memperkasakan dan menyokong keperluan kewangan pengguna dan peniaga.

 

“Penganugerahan lesen bank digital kini memenuhi wawasan kami untuk menjadi syarikat fintech spektrum penuh di rantau ini untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, kami menantikan perjalanan menarik ini untuk membina ekosistem digital dan kewangan yang terangkum bagi seluruh rakyat Malaysia bersama RHB menerusi bank digital ini,” tambahnya. - DagangNews.com