Boost sertai ekosistem DuitNow | DagangNews Skip to main content

Boost sertai ekosistem DuitNow

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Aplikasi e-dompet, Boost mengumumkan bahawa platform itu merupakan sebahagian daripada Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata PayNet (RPP) dan akan mengguna pakai QR DuitNow.

 

Ini bermakna, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR DuitNow untuk membuat pembayaran tanpa sentuhan menggunakan Boost.

 

Boost memberitahu, penyertaannya di dalam ekosistem QR DuitNow merupakan waktu tepat memandangkan e-dompet itu mengembangkan tawaran pembayaran digital di luar talian. 

 

Dalam masa sama, langkah berkenaan dilihat dapat menggalakkan perbelanjaan domestik dan merancakkan semula ekonomi yang dibuka semula.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, ini akan memudahkan lagi saling kendali dalam kalangan penyedia pembayaran digital dan meningkatkan kebolehsampaian buat rakyat Malaysia untuk menerapkan gaya hidup norma baharu.

 

“Kami percaya kod QR yang standard dan disatukan sebagai sebuah infrastruktur pembayaran yang berkongsi, dapat membentuk ekosistem tanpa tunai ‘Satu Negara, Satu QR’.

 

“Ini tidak disangkal lagi dapat membantu ekonomi untuk pulih dengan membolehkan rakyat Malaysia kekal selamat dan tiada sentuhan ketika keluar dengan lebih banyak kebebasan pergerakan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) serta seterusnya,” katanya dalam sebuah kenyataan. 

 

QR DuitNow adalah kod standard QR kebangsaan Malaysia yang diwujudkan Payments Network Malaysia (PayNet) di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Manfaat itu juga boleh diguna pakai dalam kalangan merchant Boost di mana mereka hanya memerlukan satu kod QR untuk menerima pembayaran tanpa tunai dan sentuhan daripada pengguna. 

 

Ini seterusnya akan mendedahkan merchant Boost kepada pangkalan pengguna mudah alih yang lebih luas.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata e-dompet termasuk Boost memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Malaysia untuk menerapkan gaya hidup tanpa tunai dan sentuhan pada tahun lalu. 

 

“Penyertaan Boost ke dalam ekosistem DuitNow akan memperkukuhkan lagi sumbangan mereka untuk membolehkan perniagaan terutamanya perusahaan mikro serta kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pembayaran digital dalam mengharungi impak COVD-19,” katanya.

 

Boost menjadi e-dompet utama yang pertama di Malaysia pada Oktober 2017 dan sejak itu berkembang sehingga memiliki hampir 9 juta pengguna buat masa ini.

 

Kini, menerusi kod QR DuitNow, Boost mengembangkan pangkalan merchant kepada lebih 231,000. - DagangNews.com