Bot Jepun bakal jadi aset baharu APMM tingkatkan keupayaan operasi, rondaan jaga perairan negara | DagangNews Skip to main content

Bot Jepun bakal jadi aset baharu APMM tingkatkan keupayaan operasi, rondaan jaga perairan negara

KM Arau sebuah daripada dua OPV yang disumbangkan Jepun kepada Malaysia.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 18 Dis - Jepun bakal menyumbang bot penyelamat kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai salah satu inisiatif bagi menjamin keselamatan maritim di kawasan sebelah sini.

 

Peruntukan itu akan dilaksanakan di bawah rangka kerja baharu Tokyo untuk negara-negara sahabat menerusi Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan (Official Security Assistance - OSA).

 

Sepertimana diketahui, APMM berhadapan dengan kekurangan aset yang kritikal terutama kapal peronda bersaiz besar untuk melaksanakan rondaan di kawasan jauh dan untuk tempoh lama.

 

Bagaimana pun, tiada perincian berhubung jenis bot atau saiz yang hendak disumbangkan itu.

 

PM
Anwar (kanan) semasa pertemuan dengan Kishida di Tokyo.

 

Bantuan kewangan ini juga sebahagian daripada kerjasama pertahanan dan keselamatan Malaysia - Jepun.

 

Malaysia adalah negara ketiga selepas Filipina dan Bangladesh yang terlibat dengan Jepun dalam program itu.

 

Tokyo juga dikatakan akan menawarkan dron pengawasan untuk Malaysia.

 

Nota pertukaran OSA ini telah dimeterai semasa pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatannya, Fumio Kishida pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN Jepun di Tokyo.

 

Sumbangan aset maritim ini nanti bakal menjadi yang ketiga diterima APMM dari Jepun.

 

Opv
KM Arau.

 

Opv
Sebahagian daripada kru APMM yang membawa pulang KM Arau dari Jepun.

 

Tujuh tahun lalu, Jepun menyumbang dua kapal ronda pesisir (OPV) iaitu KM Arau dan KM Pekan kepada APMM.

 

Pemberian kerajaan Jepun kepada Malaysia ini sempena 60 tahun hubungan diplomatik antara dua negara.

 

Kedua-dua kapal itu telah memainkan peranan penting dalam melindungi perairan negara sehingga hari ini, malah menjadi kapal terbesar dalam aset APMM.

 

OPV KM Arau sepanjang ditempatkan di Kota Kinabalu, Sabah manakala KM Pekan di Kuantan, Pahang.

 

OPV
APMM memerlukan kapal peronda yang besar untuk melaksanakan rondaan jarak jauh.

 

Walaupun telah berusia 25 tahun semasa diterima Malaysia, dua OPV ini masih dalam keadaan baik tambahan pula ia telah digunakan oleh Pasukan Pengawal Pantai Jepun sebelumnya.

 

Sebelum ini pada 9 Januari lalu, kerajaan Jepun menyumbang empat peranti akustik jarak jauh kepada APMM dalam menjamin keselamatan perairan Malaysia.

 

Peralatan yang disumbangkan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) itu akan diguna bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Malaysia 

 

Pemberian ini mencerminkan hubungan bilateral yang kukuh dan kesediaan kerajaan Jepun untuk bersama-sama membantu menentukan kawasan perairan selamat, aman dan terkawal. - DagangNews.com