Boustead mahu jual kepentingan dalam Affin Bank? | DagangNews Skip to main content

Boustead mahu jual kepentingan dalam Affin Bank?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

Laporan mengenai cabang pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad mahu menjual asetnya bagi menstrukturkan semula pinjaman kumpulan sudah tercetus sekitar separuh kedua tahun lalu lagi (2H20). 

 

Kadar pinjaman yang mencecah sehingga RM7.49 bilion setakat suku pertama tahun 2021 (1Q21) ‘mendesak’ Boustead untuk mencari jalan dalam menurunkan beban hutangnya dengan segera supaya kumpulan mampu mencatatkan prestasi kewangan yang mampan pada masa akan datang. 

 

Boustead dilaporkan mula terbeban dengan kerugian sejak tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2018 (FY18). 

 

Menurut nota kajian Kenanga Research sekitar tahun lalu - sebelum firma penyelidikan itu berhenti melakukan liputan ke atas Boustead - kumpulan dijangka menyaksikan prestasi kewangan yang terus tidak menentu berdasarkan trend perolehannya.

 

Mengukuhkan lagi dakwaan Boustead mahu menjual asetnya apabila kumpulan pada 24 Jun lalu mendedahkan bahawa syarikat konglomerat itu sedang melaksanakan inisiatif pengurusan pinjaman, sebagai sebahagian daripada pelan serampang ‘tiga’ matanya. 

 

Dalam satu kenyataan selepas perjumpaan pemegang saham secara maya, Boustead akan menumpukan usaha untuk mengurangkan pinjaman ke tahap yang optimum menerusi penjualan aset tidak strategik dan mengewangkan inventori hartanahnya. 

 

Di sini mula tercetus ura-ura bahawa Boustead mahu menjual 20% kepentingan kumpulan di dalam Affin Bank dan hakikatnya, khabar angin ini sebenarnya sudah lama berlegar dalam ruangan pasaran. 

 

Menurut sumber seperti dilaporkan The Star : “Ura-ura bahawa Boustead mahu menjual kepentingannya dalam Affin muncul semula. Sedikit demi sedikit langkah mula kelihatan, dengan konglomerat itu mula melupuskan kepentingan dalam unit insurans dan pengurusan asetnya.”

 

Baca: AXA jual operasi insurans di Malaysia bernilai RM688 juta

 

Baca : Penggabungan unit insurans: Affin masih berdepan risiko kredit

 

Sebagai rekod, Boustead merupakan sebuah kumpulan syarikat yang kaya dengan aset di mana menyaksikan pemilikan aset berjumlah RM16 bilion. 

 

Boustead terlibat dalam perniagaan perladangan, pembangunan hartanah, farmaseutikal, industri berat, dagangan, kewangan dan pelaburan. 

 

Seperti mana hasrat Boustead untuk melupuskan asetnya yang tidak strategik, kumpulan dilaporkan mahu mengecilkan skop tumpuan perniagaannya kepada farmaseutikal, perladangan dan industri berat, menurut sumber lain. 

 

Sekiranya benar, ini jelas menjadikan kepentingan di dalam Affin Bank satu aset yang menarik untuk dijual.

 

Diimbas kembali pada sekitar hujung tahun 2020, Boustead menjadi sasaran LTAT bagi tujuan penswastaan, namun rancangan itu terbantut sekitar Februari tahun ini ekoran penularan COVID-19. 

 

Baca : 5 sebab LTAT batal cadangan jadikan Boustead persendirian

 

Susulan itu, Boustead memperkenalkan satu pelan ‘Penciptaan Semula Boustead’ yang menyaksikan usaha kumpulan untuk, antaranya mengubah model perniagaan bagi sumber pendapatan baharu, merasionalkan beberapa aset bukan strategik, serta menceburi sektor perkhidmatan digital dan teknologi.

 

Melihatkan persekitaran pandemik COVID-19 yang masih mencabar, jelas bahawa cabaran besar ‘membebani’ Boustead dan masih banyak usaha perlu diambil bagi mengurangkan hutang bersih dan membina semula kunci kira-kiranya. 

 

Selain saham Serba Dinamik Holdings Berhad, turut mencuri tumpuan pada dagangan pagi ini adalah saham Boustead yang susut 7.89% kepada 70 sen pagi ini berbanding penutupan Jumaat, 76 sen sesaham. - DagangNews.com