Boustead Plantations, PPKKL bekerjasama teroka pasaran tanaman komersial yang dipacu teknologi mampan | DagangNews Skip to main content

Boustead Plantations, PPKKL bekerjasama teroka pasaran tanaman komersial yang dipacu teknologi mampan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Boustead Agro Plantations Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Boustead Plantations Berhad (BPB) menandatangani Dokumen Persefahaman (DoU) dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) bagi menerokai pasaran tanaman komersial yang mampan dan dipacu teknologi.

 

Dalam kenyataan hari ini, DoU tersebut mewujudkan kerjasama di antara kedua-dua pihak untuk memulakan dan membangunkan projek tanaman komersial iaitu cili dan halia secara siap guna melalui penggunaan sistem fertigasi pintar dan pertanian pintar Internet Benda (IoT).

 

“Usaha ini menandakan langkah pertama BPB untuk memanfaatkan sumber pasaran pertanian lain selain daripada perniagaan perladangan sawit huluan sedia ada.

 

“Ia juga memerlukan komitmen BPB untuk mengusahakan tanaman komersial di atas tanahnya, manakala PPKKL akan menyediakan kepakaran teknikal, bimbingan dan latihan bagi memastikan penanaman itu membuahkan hasil,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BPB, Zainal Abidin Shariff berkata, pembabitan syarikat itu dalam perniagaan tanaman komersial membuktikan kesungguhannya untuk membantu kerajaan dalam menangani isu sekuriti makanan di Malaysia.

 

Katanya, ia juga seiring dengan komitmen syarikat terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang kedua iaitu sasaran untuk mencapai sifar kelaparan menjelang 2030.

 

“Berpandukan strategi Penciptaan Semula Boustead, matlamat utama kami adalah untuk mencapai pertumbuhan yang mampan bagi tempoh jangka panjang dengan mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.

 

BPB adalah antara syarikat perladangan sawit huluan paling berpengalaman dan kukuh di Malaysia dengan pemegang saham utama yang terdiri daripada Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). - DagangNews.com