Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan KMP, Yarham Yunus (dari kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi, Pengkomersialan dan Perkhidmatan STI) MOSTI, Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI, Datuk Parang Abai @ Thomas dan Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di Putrajaya, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menjalin kerjasama strategik dengan Kumpulan Modal Perdana (KMP) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
Kerjasama dengan agensi pembiayaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membantu proses pemulihan ekonomi dengan mendorong dan meningkatkan penggunaan teknologi untuk menyelesaikan jurang sektor.
Malah, kerjasama itu merangkumi sokongan dana dari BPMB untuk mendorong inisiatif digitalisasi melalui dana BPMB sendiri dan juga melalui Skim Transformasi Pendigitalan Industri (IDTS).
Sokongan teknologi daripada agensi-agensi pembiayaan MOSTI akan digunakan untuk menerajui inisiatif Industri 4.0 dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan daripada sektor-sektor yang terlibat dengan teknologi berimpak tinggi kepada ekonomi nasional.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, kerjasama itu dapat menyediakan akses pembiayaan yang memberi manfaat kepada segmen pasaran yang lebih luas dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Kami berharap usaha kerjasama strategik ini dapat membuahkan hasil dan kami berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan dan kepakaran kolektif semua pihak dalam usaha menzahirkan simbiosis yang sempurna demi menjaga kepentingan untuk memperjuangkan inisiatif Industri 4.0 di Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Majlis pertukaran memorandum persefahaman bersama KMP dan MTDC telah diadakan baru-baru ini di ibu pejabat MOSTI di Putrajaya yang disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus dan juga Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan KMP, Yarham Yunus.
Dalam kerjasama BPMB bersama KMP, kedua-dua belah pihak akan bekerjasama dalam pelaksanaan IDTS dengan tujuan untuk menjangkau perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana dalam industri digital dan teknologi yang memerlukan bantuan dana untuk berkembang ke arah teknologi berimpak tinggi.
Panduan dan pengalaman pelaburan KMP dalam usaha berkaitan teknologi akan memberikan BPMB pendedahan yang lebih baik dalam sektor teknologi.
Sementara itu, kerjasama BPMB bersama MTDC pula melibatkan kedua-dua pihak untuk terus menerajui inisiatif digitalisasi Malaysia dengan menggunakan teknologi digital untuk menjangkau perniagaan mikro dan kecil.
BPMB akan bekerjasama bersama MTDC dan rakan platform pembiayaannya untuk mencari sumber modal alternatif untuk menyokong pertumbuhan atau keperluan modal kerja perniagaan yang disasarkan.
Selain itu, MTDC juga akan memberikan nasihat teknikal dan penilaian pendanaan berkaitan teknologi dan melabur bersama nota pelaburan terpilih. - DagangNews.com