Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyumbang bantuan pendidikan berjumlah RM2 juta kepada lapan buah universiti awam dalam usaha menaik taraf mutu kehidupan mahasiswa yang memerlukan.
Lapan universiti berkenaan ialah Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Setiap universiti telah menerima sumbangan pendidikan sebanyak RM250,000 untuk diagihkan kepada para mahasiswa asnaf yang memerlukan terutamanya daripada kalangan keluarga kelompok B40.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, sumbangan pendidikan berkenaan adalah sumbangan tahunan yang diberikan untuk kali ketiga berturut-turut sejak 2018.
"Pihak BPMB kekal komited untuk terus menjalankan tugas tanggungjawab sosial korporat kami dalam usaha untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya dalam keadaan semasa yang kian mencabar.
"Sumbangan pendidikan ini bertujuan untuk memastikan para mahasiswa yang memerlukan kekal fokus dalam pembelajaran dan secara tidak langsung meringankan beban keluarga mahasiswa khususnya yang terkesan akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Mac 2020 lalu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Universiti Awam 2020 yang dijalankan secara maya semalam.
Pada tahun-tahun sebelumnya iaitu 2018 dan 2019, BPMB telah menyumbangkan sebanyak RM5,250,000 kepada sembilan buah universiti awam.
Senarai sembilan universiti yang menerima sumbangan pada sebelum ini adalah seperti berikut;
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Universiti Putra Malaysia (UPM)
- Universiti Teknologi MARA (UiTM)
- Universiti Malaya (UM)
- Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
- Universiti Malaysia Sabah (UMS)
- Universiti Malaysia Sarawak (UniMas)
Secara keseluruhan, BPMB telah menyalurkan dana sebanyak RM7,250,000 termasuk sumbangan pada 2020 kepada universiti-universiti awam tempatan dalam usaha untuk memperbaiki mutu hidup dan membantu proses pembelajaran para mahasiswa yang memerlukan.
Baki beberapa buah universiti awam lain yang belum menerima sumbangan BPMB dijangka akan menerima sumbangan berkenaan pada tahun hadapan. - DagangNews.com