Brunei setuju laksana VTL bagi laluan udara, darat - PM | DagangNews Skip to main content

Brunei setuju laksana VTL bagi laluan udara, darat - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Malaysia dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, hari ini.

 

"Bagi tujuan ini kementerian-kementerian yang berkaitan akan meneliti SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi pelaksanaan insiatif VTL ini. 

 

"VTL bagi pergerakan rentas sempadan darat juga dalam pertimbangan kedua-dua pihak," katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

 

Penerbangan di antara Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan hanya dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat kerana Brunei belum membuka sempadan negara itu berikutan pandemik COVID-19.

 

Malaysia sebelum ini melaksanakan VTL dengan Singapura dan bersetuju untuk pelaksanaan inisiatif itu dengan Indonesia.

 

pm

 

Ismail Sabri berkata, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah juga mengiktiraf MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat kedua-dua buah negara.

 

"Saya juga telah menjemput Kerajaan Brunei untuk sama-sama terlibat dalam R&D bagi penghasilan vaksin COVID-19. 

 

pm

 

"Buat permulaan, Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) bersedia bekerjasama dengan pakar-pakar dari Universiti Brunei Darussalam dalam penyelidikan “Antibody Response to COVID19 Vaccines”," katanya.

 

pm

 

Perdana Menteri berkata, pertemuan dengan Sultan Hassanal turut membincangkan mengenai Lebuh Raya Trans-Borneo Malaysia-Brunei termasuk menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke CIQ Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang 5km yang dijangka bermula pada 2023.

 

pm

 

Beliau berkata, pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74km melalui Limbang dan Lawas dalam proses mereka bentuk serta mengambil balik tanah yang dijangka siap dalam masa 48 bulan.

 

pm

 

"Banyak perkara dibincangkan antara saya dengan Tuanku Baginda Seri Sultan Hassanal Bolkiah menyentuh mengenai usaha dan inisiatif bagi meningkatkan hubungan istimewa ke satu tahap yang lebih tinggi dan komprehensif, kerjasama ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan.

 

"Selain itu, Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada 2011 di peringkat pegawai kanan diadakan pada kadar segera dan pada masa sama pelbagai isu serantau lain turut dibincangkan termasuk situasi di Myanmar dan di Laut China Selatan," katanya. - DagangNews.com