BAYARAN gaji yang rendah adalah perkara yang tidak asing lagi menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hal ini ditambah kos sara hidup di Malaysia kian meningkat dan nilai pendapatan gaji yang rendah semakin menghimpit hidup masyarakat dengan mengurangkan kuasa beli pengguna.
Saban hari, peluang pekerjaan semakin luas dan fleksibel kerana tidak semua pekerjaan memerlukan kelayakan yang sepatutnya untuk bekerja.
Namun, isu tawaran gaji yang sangat rendah dan tidak sesuai dengan skop pekerjaan yang disediakan membantutkan hasrat pencari kerja yang menolak dan memilih untuk berhenti bekerja kerana merasakan beban yang ditanggung tidak sama nilainya dengan tawaran gaji yang diberikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti di peringkat SPM akan menjejaskan sumber manusia negara, kata timbalan menteri
Pelbagai persoalan, cadangan atau kritikan yang berlegar-legar dalam fikiran kita dalam membahaskan isu ini.
Secara teorinya, semakin besar risiko pekerjaan tersebut, maka semakin tinggi kadar gaji yang akan diberikan sesuai dengan skop pekerjaan akan tetapi sesetengah organisasi tidak mengambil berat akan hal ini dan lebih parah apabila mereka menawarkan sistem kerja secara kontrak tetapi skop dan risiko dalam menggalas tanggungjawab adalah sangat besar.
Umum mengetahui bahawa isu ini lebih hangat dengan isu doktor kontrak kerana menurut laporan pada 2022, lebih 30,000 doktor kontrak di Malaysia dan doktor kontrak ini diletakkan dalam kategori rendah berbanding pegawai perubatan yang lain walaupun skop dan beban yang digalas oleh mereka adalah sama.
Isu ini juga dipertikaikan dengan perbezaan kenaikan gaji pokok yang tidak adil menyebabkan ramai doktor kontrak bertindak mengadakan mogok sebagai tanda ketidakpuasan hati kerana mereka mendapat gaji yang rendah sepanjang 20 tahun dan kadar gaji yang hanya RM9 untuk ‘on-call’ dan lagi kritikal kerana kerajaan ingin menghapuskan elaun kritikal sebanyak RM750 sebulan.
Tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini telah membuka mata setiap doktor kontrak yang ditindas untuk melakukan bantahan kerana mereka merasa bahawa segala penat lelah untuk menyelamatkan nyawa orang
tidak dibalas dengan kadar gaji yang sepatutnya.
Selain itu, dengan kerja secara lebih masa yang pada akhirnya akan menyebabkan setiap doktor yang ditindas untuk menyerah kalah dan memutuskan untuk meletakkan jawatan.
Gaji permulaan
Isu gaji rendah ini juga amat berkait rapat dengan permulaan gaji yang rendah dalam kalangan graduan yang baru ingin mencari kerja.
Permulaan gaji yang bermula dengan RM1,500 menyebabkan ramai graduan memilih untuk membuka perniagaan sendiri berbanding ‘makan gaji’ yang menyebabkan pendapatan mereka tidak stabil dan kelayakan tidak sama dengan segulung ijazah yang diperolehi menyebabkan graduan pada masa kini sukar untuk memburu pekerjaan.
Isu gaji rendah ini akan menutup pintu para graduan yang berkemahiran secara professional terhadap sesuatu bidang kerana mereka merasakan bahawa gaji permulaan yang bermula di bawah RM2,000 tidak setanding dengan kemahiran yang dimiliki oleh mereka dan menyebabkan lebih ramai pekerjaan separa mahir di negara kita pada masa kini.
Jika pintu untuk para graduan yang berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang, makan kelembapan dalam
penciptaan teknologi-teknologi baharu dan penemuan ilmu baharu di negara kita akan meningkat kerana kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
Masalah ini sekaligus akan memberi tanggapan yang negatif terhadap anak-anak muda pada masa kini kerana mereka melihat bagaimana dunia pekerjaan berjalan.
Ini menyebabkan mereka ragu-ragu sama ada mereka di jalan yang betul atau telah membuat keputusan salah kerana mereka berpendapat bahawa segala penat lelah selama belajar dan pada akhirnya tidak dibayar dengan kadar gaji sepatutnya dan layak dengan kelas masing-masing.
Gaji rendah bukan sahaja mempunyai kaitan dengan peluang pekerjaan malah ia juga membabitkan kehidupan seharian kita pada masa kini kerana kita memerlukan wang untuk membeli apa-apa demi kelangsungan hidup.
Pepatah Melayu mengatakan ‘ukur baju di badan sendiri’ yang membawa maksud berbuat sesuatu atau melakukan tindakan hendaklah sesuai dengan kemampuan diri sendiri dan pepatah ini menggambarkan bagaimana fikiran setiap rakyat di Malaysia yang hanya bergantung dengan pendapatan masing-masing dan membeli barang keperluan mengikut kos sara hidup masing-masing.
Sesetengah individu menganggap bahawa gaji RM1,500 cukup bagi graduan baharu dan tidak berkahwin kerana mereka beranggapan bahawa graduan tersebut tidak mempunyai banyak komitmen dalam kehidupan seperti anak-anak akan tetapi anggapan ini adalah salah sama sekali.
Ini kerana gaji sebanyak itu tidak relevan lagi-lagi kepada pekerja di bandar-bandar besar kerana perlu membayar sewa rumah, bil elektrik, bil air, kenaikan harga-harga barang dan sebagainya.
Walaupun tidak mempunyai keluarga lagi, akan tetapi komitmen masing-masing adalah berbeza apatah lagi yang berasal dari keluarga berstatus B40 kerana mereka hanya bergantung dengan pendapatan isi rumah yang hanya kais pagi,makan pagi, kais petang, makan petang.
Hal sebegini akan menyebabkan setiap individu yang kesempitan wang mengalami tekanan yang sangat tinggi kerana segala yang diperlukan dalam hidup memerlukan wang untuk kelangsungan hidup.
Tawaran gaji yang rendah tidak hanya memberi kesan kepada golongan pekerja malah ia juga mengubah persepsi remaja yang berada di bangku sekolah terutamanya sekolah menengah.
Ini disebabkan mereka berpendapat bahawa kadang-kadang jika belajar tinggi tetapi gaji sama dengan yang tidak menyambung pelajaran dan ini menghasut fikiran mereka untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat universiti.
Mereka akan lebih memilih untuk berhenti sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa berada di Tingkatan 5 kerana ingin terus bekerja dan mereka juga terpengaruh dengan apa yang dibaca di media sosial dan beranggapan bahawa belajar tinggi hingga menara gading juga bukan jaminan mendapat pekerjaan yang lebih baik.
Sebagai contoh rata-rata graduan lepasan pengajian tinggi ditawarkan gaji di bawah RM2,000 berbanding gaji individu yang bekerja sebagai penjual barangan kosmetik yang memperolehi pendapatan mencecah RM5,000 sebulan.
Hal sebegini telah membuka mata setiap remaja bahawa pendapatan yang lebih tinggi tidak hanya bergantung kepada sejauh mana pengajian kita tetapi usaha untuk mencari rezeki yang halal dan lumayan tersebut dicari oleh mereka.
Isu sebegini hendaklah dibendung dari awal kerana jika setiap remaja dipengaruhi dengan keadaan sebegini maka, jumlah pelajar yang menyambung pengajian akan berkurang berbanding dengan yang terus bekerja sama ada sebelum atau selepas Tingkatan 5.
Tambahan pula, ramai anak muda berfikir bahawa gaji yang ditawarkan taraf pendidikan yang tinggi setaraf dengan gaji pekerja lepasan SPM dan pihak yang bertanggungjawab hendaklah melakukan pelan-pelan pada masa akan dating daripada membiarkan wabak tidak mahu menyambung pengajian ini berleluasa.
Perdebatan tentang isu gaji rendah ini bukan bermula dari sekarang tetapi telah dipertikaikan pada masa lalu cuma kesannya lebih ketara buat masa sekarang pasca pandemik COVID-19 yang telah menguji setiap individu terutamanya dari segi ekonomi masing-masing.
Kesannya sangatlah drastik sehingga ada individu yang terpaksa berhenti kerja kerana punca pendapatannya tiada hasil jualan yang tidak memberangsangkan dan menyebabkan dirinya hidup dalam kesempitan akibat kurang sumber pendapatan walaupun pelbagai bantuan telah disalurkan kepada yang kurang kemampuan.
Atas alasan inilah, kebanyakan individu memilih untuk bekerja dalam pelbagai bidang pada satu masa mengikut
kemahiran masing-masing kerana jika satu pekerjaan tidak mampu untuk memberikan kadar gaji yang dikehendaki maka bekerja lebih dari satu pekerjaan merupakan salah satu cara untuk menanganinya.
Kita pada masa sekarang hendaklah berpegang kepada apa jua pekerjaan yang sedia ada walaupun menawarkan gaji yang tidak lumayan daripada tidak mempunyai pekerjaan langsung.
Keadaan ekonomi yang tidak menentu juga mendesak setiap syarikat gulung tikar dan terpaksa membuang sesetengah pekerja kerana tidak mampu membayar gaji pekerjanya lagi.
Apa penyelesaian?
Isu tentang gaji rendah ini sangatlah memberi kesan kepada setiap individu tidak kira muda atau tua kerana kesan gaji rendah ini akan memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan masing-masing.
Cuba lihat dalam 10 tahun akan datang bagaimana keadaan rakyat kita jika suara mereka tidak didengari oleh pihak yang sepatutnya?
Semestinya kita tidak mahu melihat sesama kita hidup dalam kehidupan yang sengsara akibat isu ini yang pada mulanya dapat dibendung.
Oleh itu, isu gaji rendah ini akan terus dipersoalkan kerana setiap individu mempunyai pandangan masing-masing yang berbeza dan hanya ada satu penyelesaian yang dapat meleraikan persoalan ini. - DagangNews.com