Buat temu janji untuk berurusan di Tabung Haji bermula 10 Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Buat temu janji untuk berurusan di Tabung Haji bermula 10 Mei 2022

Kemudahan ini merupakan satu lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH demi keselesaan kepada pendeposit.

KUALA LUMPUR 10 Mei – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan semua pendeposit yang ingin berurusan di kaunter TH boleh membuat janji temu sebelum hadir di mana-mana 123 pejabat cawangan TH seluruh negara bermula 10 Mei 2022.

 

Sebanyak empat kemudahan janji temu yang melibatkan urusan tuntutan pusaka, permohonan hibah amanah, kemas kini maklumat peribadi dan pembukaan akaun diperkenalkan oleh TH.

 

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, dengan adanya kemudahan janji temu ini, ia akan memberi kemudahan kepada pendeposit untuk berurusan di mana-mana kaunter cawangan TH dengan lebih efektif dan efisien.

 

Beliau berkata, kemudahan ini merupakan satu lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH demi keselesaan kepada pendeposit.

 

“TH memperkenalkan kemudahan janji temu bagi membolehkan pendeposit memilih tarikh dan masa mengikut kesesuaian dan tidak perlu menunggu dalam tempoh masa yang lama untuk berurusan.

 

''Pelaksanaan kemudahan ini juga membolehkan TH mengatur kehadiran pendeposit secara berkala dan secara langsung dapat mengelak kesesakan dan ketidakselesaan pendeposit ketika berurusan di pejabat cawangan TH,” tambah beliau.

 

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab
          Mohamed Ameen Abdul Wahab

 

Pendeposit hanya perlu melayari laman web TH di www.tabunghaji.gov.my dan klik di menu pilihan urusan janji tamu yang ada bermula 10 Mei 2021.

 

Para pendeposit boleh membuat janji temu bermula slot masa 8.45 pagi sehingga 3.45 petang. – DagangNews.com