Bubar MPN tidak selesai masalah, tindakan merugikan | DagangNews Skip to main content

Bubar MPN tidak selesai masalah, tindakan merugikan

KUALA LUMPUR 5 Okt - Gesaan agar Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan dilihat sebagai satu tindakan yang merugikan dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19. 

 

Ahli MPN, Datuk Dr Hartini Zainudin berkata, selama ini MPN berjaya memainkan peranannya dengan menyediakan cadangan serta bertindak sebagai pelengkap dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan.

 

“KPI (petunjuk prestasi utama) MPN adalah untuk memastikan kami melakukan yang terbaik dalam melengkapkan inisiatif lain yang dilakukan oleh kerajaan. Semua orang mempunyai peranan yang dilaksanakan dan semua orang berkerja untuk memastikan kita pulih lebih cepat.

 

“Perkara yang telah kami lakukan ialah membuat cadangan bila sempadan perlu dibuka, kami melihat kepentingan aspek pelancongan, ekonomi dan banyak perkara lain. Kami membahagikan tumpuan kepada teras utama dalam ekonomi, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

 

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa MPN dibubarkan berikutan fungsinya yang tidak jelas dan tidak perlu.

 

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata gesaan itu antara lain dibuat berikutan MPN dikatakan bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.

 

Hartini berkata, usaha untuk memulihkan negara pasca COVID-19 dijangka mengambil masa selama 10 tahun dan ia akan menjadi sukar sekiranya usaha itu hanya dilaksanakan oleh satu pihak sama ada parti politik, sektor mahupun organisasi, lapor Bernama.

 

Mengulas mengenai kebajikan rakyat Malaysia, beliau yang juga aktivis kanak-kanak dan pengasas bersama Yayasan Chow Kit berkata perkara itu perlu diberi tumpuan khususnya apabila ramai individu kategori B40 yang terkesan akibat inflasi dan pandemik kini tergolong dalam kategori B60.

 

“Berikutan syor Mesyuarat MPN pada 2021, Yayasan Hasanah menjalankan kolaborasi bersama Yayasan Chow Kit bagi memberi bantuan kecemasan (makanan) kepada mereka yang memerlukan dengan bantuan empat agensi bukan kerajaan (NGO) antaranya Bulat Sabit Merah Malaysia dan Yayasan Sejahtera.

 

“Setakat ini, kami sudah beri 7,600 isi rumah bekalan makanan pada fasa 1 dan pada penghujung Oktober terdapat 8,000 lagi isi rumah dalam fasa 2. Jadi kira-kira 15,000 isi rumah yang kita sudah beri makanan berdasarkan peruntukan kita terima, namun ia masih belum mencukupi,” katanya.

 

Hartini berkata, beliau akan membentangkan mengenai cadangan lanjutan bagi memperkasakan inisiatif keselamatan sosial dan kebajikan golongan rentan pada mesyuarat MPN yang dijangka diadakan bulan ini.

Selain itu, beliau berkata, sesi pembentangan itu juga akan memberi fokus kepada cadangan pemberian bantuan makanan, perlindungan kepada kanak-kanak dan keselamatan mental yang dilihat penting pada fasa peralihan ke endemik pada masa ini. - DagangNews.com