KUALA LUMPUR 27 Dis – Taghill Holdings Bhd (Taghill), yang sebelum ini dikenali sebagai Siab Holdings Bhd memaklumkan, anak syarikat milik penuhnya, Siab (M) Sdn Bhd (Siab) menerima tuntutan adjudikasi daripada subkontraktornya, yang menuntut pembayaran jumlah tertunggak sebanyak RM2.59 juta.
Tuntutan tersebut dibuat oleh Landasan Angkasa Sdn Bhd (Landasan) pada 13 November lalu, berhubung projek pembangunan gudang yang telah disiapkan pada 2023.
"Siab sedang berada dalam proses penyelesaian pertikaian secara formal di mana Landasan (subkontraktor) mencabar pembelaan yang dikemukakan oleh Siab," jelas Taghill dalam satu kenyataan yang difailkan di bursa saham.
Siab meminta lebih banyak masa untuk menyediakan maklumat tambahan dan Landasan bersetuju, namun Landasan masih belum memberi jawapan mengenai waktu atau tempoh yang dicadangkan untuk menyelesaikan proses adjudikasi.
Taghill menyatakan, pertikaian itu dijangka tidak memberi kesan kewangan atau operasi yang ketara kepada kumpulan.
Saham Taghill didagangkan pada harga 11.5 sen, memberi syarikat itu modal pasaran sebanyak RM171.5 juta. - DagangNews.com