Buka hotel kepada mereka yang sudah divaksinasi | DagangNews Skip to main content

Buka hotel kepada mereka yang sudah divaksinasi

Oleh Tan Ming Luk,
Ketua OYO Malaysia & Singapura

 

SUDAH kira-kira enam bulan sejak perjalanan merentas negeri disekat pada 13 Jan 2021 dan lebih sebulan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia bermula 1 Jun.

 

Walaupun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kadar positif COVID-19 di negara ini terus berada dalam keadaan tidak menentu, dengan kes positif berjaya mencatatkan pengurangan hingga serendah 4,611 pada 21 Jun, tetapi meningkat pula sehingga lebih 6,000 kes sehari dalam tempoh seminggu yang lepas, sementara nilai R0 kekal melebihi 1.00, menandakan wujud penyebaran aktif dalam komuniti.

 

Tanda-tandanya adalah jelas – sekatan perjalanan dan perintah kawalan pergerakan tidak berjaya mengekang penyebaran virus tersebut.

 

Sementara itu, Pelan Pemulihan Negara yang mempunyai 4 fasa menyasarkan untuk hanya membenarkan perjalanan merentas negeri, pelancongan domestik dan aktiviti sosial dalam Fasa 4, apabila 60% penduduk telah divaksinasi.

 

Jika dikira berdasarkan kepada garis masa pemberian vaksin terkini, dianggarkan bahawa sasaran 60% penduduk yang lengkap menerima dua dos vaksin hanya akan tercapai seawal-awalnya menjelang penghujung Oktober, itu pun jika pemberian vaksin harian boleh dikekalkan pada 300,000 dos atau lebih.

 

Hingga ke hari ini, hanya kira-kira 21% penduduk telah menerima dos pertama mereka dan kurang daripada 10% telah divaksinasi sepenuhnya.

 

Industri hospitaliti yang mengalami kerugian kira-kira RM300 juta setiap dua minggu akibat pandemik dan sekatan perjalanan yang berterusan, tidak mampu untuk menunggu sehingga jumlah kes di seluruh negara berada pada paras yang terkawal, melihatkan kepada kesukaran dalam mengekang peningkatan zon merah atau menantikan 60% penduduk menerima suntikan lengkap.

 

Pelancongan adalah penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK Malaysia, selepas pengilangan dan komoditi, menyumbang RM86.14 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2019. Sejak bermulanya pandemik ini, keseluruhan industri pelancongan Malaysia telah pun mengalami kerugian berjumlah RM100 bilion.

 

OYO berpendapat bahawa corak pemikiran perlu diubah daripada apa yang kita tidak boleh benarkan kepada apa yang boleh kita benarkan (aktiviti yang berisiko rendah). Malaysia sepatutnya boleh meniru Thailand dalam menjayakan inisiatif seperti Phuket Sandbox tetapi dengan lebih meluas di peringkat kebangsaan, dan membenarkan hotel menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya.

 

Kerajaan Thai menjangkakan kira-kira 100,000 pelancong asing akan melawat Phuket pada suku ketiga tahun ini dan menjana pendapatan 8.9 bilion Baht (AS$278 juta), di mana kita juga perlu membuat sasaran kita sendiri.

 

Penangguhan pembukaan hotel akan terus mengancam kemandirian industri, menjejaskan kehidupan setiap pekerja di dalam sektor itu, terutama sekali di negeri-negeri yang amat bergantung kepada pelancongan sebagai penyumbang ekonominya.

 

Kenapa perlu industri hospitaliti di Malaysia, yang mencatatkan hampir sifar kluster, terpaksa menanggung akibat ketidakbertanggungjawaban pihak lain?

 

Malaysia perlu merancang semula strategi membendung COVID-19 dengan menggunakan pendekatan yang lebih bersasar dan bukannya menggunakan sekatan menyeluruh, memandangkan jumlah kes harian tidak mencatatkan penurunan yang signifikan walaupun selepas sebulan sekatan perjalanan menyeluruh dilaksanakan.

 

Keadaan ini sememangnya amat memeritkan terutama sekali di dalam sektor hospitaliti yang banyak bergantung kepada keupayaan untuk merentas di antara negeri, di mana negeri-negeri yang hanya mencatatkan sedikit kes seolah-olah menjadi tebusan yang bergantung kepada prestasi negeri-negeri yang ramai penduduknya.

 

Pemulihan sektor pelancongan dan hospitaliti bergantung kepada kebolehan destinasi pelancongan dan sumber pasaran pelancongan membina semula kepercayaan di antara satu sama lain secara cepat.

 

Kadar vaksinasi yang mantap boleh menyumbang kepada peningkatan keyakinan, tetapi kita tidak boleh memandang sepi peranan-peranan lain yang boleh dimainkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri agar selari dengan usaha industri hospitaliti bagi membina semula kepercayaan terhadap sektor ini.

 

Pelan PEMULIH 2021 yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini sememangnya dapat membantu perniagaan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti menerusi pengecualian cukai, diskaun bil elektrik dan moratorium pinjaman, namun turut sama penting ialah kejelasan mengenai anggaran tarikh apabila sektor ini boleh memulakan operasi.

 

Hotel terutamanya, memerlukan masa untuk membuat persiapan, di mana 60% daripada tempahan dibuat dua minggu lebih awal. Salah satu cara ialah dengan mengaitkan jadual vaksinasi dengan pembukaan ekonomi.

 

Kita berupaya mengawal kadar vaksinasi dan ini memberikan sedikit kejelasan kepada perniagaan untuk membuat perancangan awal. Kerajaan perlu memberikan keyakinan dan kepastian yang diperlukan untuk pembukaan semula industri hospitaliti. Jika kita mahu pembukaan semula industri hospitaliti berjaya, kita perlu mengesahkan tarikh pembukaan, menetapkan garis panduan dan SOP yang jelas untuk sektor ini.

 

Kita perlu bertindak sekarang, beralih kepada normal baru dan berfikir di luar kotak. Dengan memanfaatkan peluang dan pembelajaran, ini adalah masanya untuk mencipta satu kitaran mulia (virtuous cycle) bagi menggantikan kitaran kejam (vicious cycle) sebelum ini.

 

Semuanya terletak di tangan Kerajaan. Kami menggesa agar Kerajaan mengubah pendekatannya, bagi memastikan tiada seorang pun yang akan ketinggalan. Ia boleh dimulakan dengan menyakini bahawa industri hospitaliti mampu melakukan apa yang diperlukan untuk menjaga keselamatan tetamu mereka pada setiap masa.

 

Lagipun, industri ini telah membuktikan bahawa ia boleh dan sedia bekerjasama dalam usaha memerangi COVID-19. Kini sudah tiba masanya untuk Kerajaan membalas keyakinan itu. - DagangNews.com