Bukan waktu sesuai naikkan harga barangan, perkhidmatan - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Bukan waktu sesuai naikkan harga barangan, perkhidmatan - KPDNHEP

.

Oleh MUHAMMAD ARIE CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Permohonan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dalam kalangan peniaga dilihat tidak sesuai dalam tempoh semasa.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah tersebut tentunya akan menambahkan beban kepada pengguna yang sememangnya telah terkesan dengan pandemik COVID-19.

 

"KPDNHEP mengambil maklum permohonan yang diterima daripada beberapa syarikat dan industri yang berhasrat untuk menaikkan harga produk keluaran mereka.

 

"Permohonan ini melibatkan pelbagai jenis produk makanan dan bahan makanan serta barangan keperluan harian yang lain.

 

"Kementerian berpandangan bahawa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk peniaga dan industri menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka. Langkah ini tentunya akan menambahkan beban kepada pengguna yang sememangnya telah terkesan dengan pandemik COVID-19," jelas KPDNHEP dalam satu kenyaataan hari ini.

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi.

 

 

Mengulas lanjut, KPDNHEP memberitahu, pihaknya komited memastikan kelangsungan ekonomi domestik dapat berjalan dengan baik meskipun negara berhadapan dengan cabaran penularan wabak COVID-19.

 

Pihaknya juga bertanggungjawab melindungi hak dan kepentingan pengguna dalam mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

 

KPDNHEP turut menyeru semua pihak termasuk komuniti peniaga dan pengguna untuk bersama kerajaan dalam menumpukan sepenuh perhatian dan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutamanya dalam
menurunkan kes harian dan meningkatkan kecapaian imunisasi kelompok.

 

Mengulas berkaitan program imunisasi, KPDNHEP berkata, pihaknya telah memohon kerajaan untuk menyegerakan program imunisasi, khusus untuk barisan hadapan ekonomi supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi. - DagangNews.com