Buku What's in a Name tulisan Nazir Razak di pasaran mulai 8 November 2021 | DagangNews Skip to main content

Buku What's in a Name tulisan Nazir Razak di pasaran mulai 8 November 2021

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Datuk Seri Nazir Tun Razak yang berpengalaman mengemudi CIMB Bank selama 29 tahun dan merupakan anak bongsu kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein hari ini melancarkan buku pertama tulisannya berjudul What's in a Name, mengisahkan tentang keluarga, kerjaya dan jiwa Malaysianya.

 

Bermula November 8, buku ini boleh didapati di kebanyakan kedai buku utama dan mereka yang telah membuat pra-tempahan dalam talian mula menerima salinan masing-masing.

 

Buku "What’s in a Name” adalah imbasan kembali pengalaman, peristiwa-peristiwa penting yang telah membentuk diri dan kehidupan saya; dan bagaimana saya merasionalkan kesemuanya.

 

``Ia merangkumi kisah-kisah keluarga, kerjaya, perniagaan dan politik di Malaysia. Bapa meninggalkan kami ketika saya berumur 9 tahun, dan penulisan buku ini memberi saya peluang memahami Tun Razak sebagai seorang pemimpin dan individu.

 

``Ia menyedarkan saya bahawa legasi paling utama beliau ialah nilai, prinsip dan kaedah yang beliau terapkan, ianya bersifat peribadi dan tidak nyata pada mata kasar; sedangkan institusi, polisi atau program yang beliau laksanakan mungkin sesuai atau tidak untuk masa yang berbeza,'' katanya bersempena pelancaran buku itu.

 

Nazir yang juga adik kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beberapa catatan penting yang terkandung dalam buku ini termasuklah kepentingan konteks dalam membuat keputusan dan cara kita memahami tindaklaku orang lain.

 

Menurut beliau, ia juga menyentuh mengenai pilihan-pilihan sukar yang perlu dibuat, bukan sahaja sebagai sebuah negara malah sebagai individu.

 

''Saya mengimbau kembali keresahan saya berkaitan pelbagai peristiwa yang berlaku seperti semasa beberapa tahun pertama kerjaya saya di CIMB yang mencabar, usaha penggabungan perbankan dan krisis 1MDB,'' ujarnya.

 

Di akhir buku ini, beliau membuat analisis kritikal mengenai pergerakan ekonomi politik Malaysia, mengupas cabaran-cabaran yang melanda negara dan mencadangkan kerjasama yang diperlukan untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

 

''Saya berpandangan yang hala tuju masa depan yang lebih baik mungkin terletak pada masa lalu, dalam bentuk satu platform perundingan baru seperti Majlis Perunding Negara yang ditubuhkan pada 1970,'' katanya.

 

Versi United Kingdom akan berada di pasaran pada 18 November. Versi Bahasa Malaysia pula kini di peringkat akhir penterjemahan dan bakal berada dalam pasaran pada tahun depan. - DagangNews.com