Sektor pengguna berpotensi catat hasil positif pada 2025 dipacu peningkatan pendapatan boleh guna - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sektor pengguna berpotensi catat hasil positif pada 2025 dipacu peningkatan pendapatan boleh guna - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Sektor pengguna berpotensi mencatatkan hasil positif pada 2025 dipacu faktor makroekonomi yang kukuh dan bantuan kerajaan yang dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna, meningkatkan sentimen pengguna serta kapasiti perbelanjaan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 15% saham pengguna di bawah liputannya (anggaran 2024: -3%), dengan Nestle Malaysia, Farm Fresh dan MR DIY dijangka melihat "peralihan pendapatan positif.”

 

“Inisiatif utama kerajaan termasuk pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kenaikan gaji perkhidmatan awam (antara 7% hingga 15%, berkuat kuasa 1 Disember 2024), dan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan (daripada RM1,500 setiap bulan, berkuat kuasa 1 Februari 2025),” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu melihat pengeluar dan peruncit makanan dan minuman (F&B) mendapat manfaat sepenuhnya daripada perubahan positif dalam corak penggunaan.

 

“Peruncit lain yang berada pada kedudukan yang baik dalam pasaran sasaran B40 dan M40 dengan barangan mampu milik dan berharga seperti MR DIY, Padini dan AEON juga diyakini mencatatkan peningkatan jualan," katanya,

 

Berdasarkan trend sebelum ini, ia mendapati pertumbuhan jualan runcit tahunan menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun pada tahun-tahun kenaikan gaji minimum dilaksanakan (2013: 7.2%) dan 2016 (7.1%), kecuali 2020 (-6.1%) disebabkan oleh wabak COVID-19.

 

"Terdapat pertumbuhan yang lebih besar pada tahun selepas kenaikan gaji minimum pada 2014 (9.9%) dan 2017 (9.5%), tidak termasuk 2023 (6.1%) memandangkan asas tinggi pada 2022 (19.2%) daripada permintaan tinggi selepas pandemik,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu melihat kadar tertunggak hutang kad kredit di Malaysia dan mendapati kadar pembayaran balik kad kredit kekal sihat walaupun terdapat tekanan pada belanjawan isi rumah dan kos sara hidup yang lebih tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

“Sejak Januari 2013, purata kredit yang diberikan bagi setiap kad ialah purata RM15,269. Ini mewakili 25% daripada jumlah kredit yang diberikan bagi setiap kad. 

 

"Kadar purata pembayaran tertunggak juga kekal pada paras rendah 0.9% dari 2013 hingga 2024.

 

"Dengan hutang jangka pendek yang agak rendah dan kadar bayaran balik yang baik, kami percaya bahawa perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi dalam F&B dan runcit tidak akan dihalang oleh beban sedia ada untuk membayar balik hutang," katanya. - DagangNews.com