KUALA LUMPUR 7 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengisytiharkan Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut pada November setiap tahun dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri berkata, sambutan pada bulan ini akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Keluarga Malaysia di Taman Botani Perdana di sini, hari ini, lapor Berita Harian.
Yang turut hadir Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Perdana Menteri berkata, selain penyertaan kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan amat berharap sektor swasta, NGO dan komuniti turut mengambil bahagian agar program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.
Katanya, penganjuran program juga boleh dilakukan di peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
"Sambutan ini diharap dapat menyemarak serta mempertingkatkan lagi usaha semua pihak untuk bersama-sama melindungi, mempertahan dan memperkasa institusi keluarga sebagai benteng dan tunjang kestabilan sosial di negara kita," katanya.
Menyentuh penjenamaan semula sambutan yang disambut sejak 2012 itu, Ismail Sabri berkata ia selaras dengan pelaksanaan Dasar Keluarga Negara yang bermatlamat membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan teguh serta berdaya tahan untuk memastikan kestabilan sosial demi kesejahteraan negara.
"Bagaimanapun ia berbeza dengan konsep Keluarga Malaysia yang ideanya saya cetuskan sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 22 Ogos lalu yang memfokus kepada usaha menyatu-padukan rakyat Malaysia dalam sebuah keluarga besar bagi menghadapi cabaran krisis berkembar iaitu ekonomi dan COVID-19.
"Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat. Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan hari ini akan terus dijadikan sebagai falsafah pentadbiran negara," katanya yang turut berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara meneruskan usaha bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus terpelihara dan sejahtera.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata beliau akan mempengerusikan Yayasan Keluarga Malaysia yang baru-baru ini diperuntukkan RM25 juta bagi membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.
"Beberapa program telah dirangka untuk memastikan nasib anak-anak ini terus dibela termasuk bantuan kewangan dan sokongan emosi dalam mendepani cabaran yang dihadapi ketika membesar tanpa ibu dan ayah.
"Komitmen banyak pihak diperlukan untuk bersama-sama membantu dan menjaga kebajikan anak-anak ini supaya mereka tidak terpinggir," katanya.
Perdana Menteri berkata, yayasan berkenaan akan turut membantu anak-anak keluarga Malaysia lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya. - DagangNews.com