DARI kiri atas, Mohamad Naifuddin Bujang Mohidin, Lion Peh dan bawah, Rodzi Ahmad pada majlis pemeteraian perjanjian maya.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Syarikat infrastruktur telekomunikasi, Bullish Aim Sdn Bhd telah memeteraikan perjanjian kerjasama dengan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Allo Technology Sdn Bhd (Allo) untuk memperluaskan sambungan rangkaian gentian ke lebih kediaman dan perniagaan di Johor.
Kerjasama itu membolehkan Bullish Aim mempercepatkan Inisiatif Digital Johor pada kadar yang lebih pantas dengan infrastruktur gentian daripada Allo.
Ketua Pegawai Eksekutif Bullish Aim, Datuk Lion Peh berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting seiring objektif Jaringan Digital Nasional (Jendela) untuk meningkatkan liputan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Dengan teknologi pengguna dan perusahaan meningkat, terdapat peluang pertumbuhan besar kerana ia penting untuk kediaman dan pejabat pada hari ini menerima sambungan kepada internet berkelajuan tinggi dan bagus,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian secara maya itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bullish Aim, Mohamad Naifuddin Bujang Mohidin.
Katanya, kawasan yang kurang menerima perkhidmatan itu boleh menerima manfaat daripada kerjasama untuk meluaskan rangkaian gentian tersebut, menerusi infrastruktur Allo dan seterusnya merapatkan jurang antara masyarakat.
Ujar beliau lanjut, Bullish Aim berhasrat untuk menjadi penyedia infrastruktur telekomunikasi yang terbesar dan terkenal di Malaysia, serta merancang untuk disenarai awam dalam masa terdekat ini.
Pengembangan infrastruktur gentian baharu itu membolehkan Allo menawarkan rangkaian baharunya kepada pengendali telekomunikasi untuk segera mengembangkan capaian pasaran dan menyediakan produk jalur lebar berkelajuan tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak berkenaan penting untuk mempercepatkan perluasan sambungan gentian di kawasan yang terpencil.
“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam mempercepatkan pelancaran gentian di Johor, membolehkan Bullish Aim untuk mencapai sasaran inisiatif digitalnya di negeri berkenaan.
“Bersama-sama, kami akan mengembangkan sambungan rangkaian gentian, memberi manfaat kepada rakyat di Johor terutamanya di kawasan yang kurang menerima perkhidmatan tersebut, pada kadar yang lebih pantas dan berpatutan,” katanya.
Perancangan itu termasuk melancarkan lebih 50,000 pas internet rumah di beberapa kawasan di Johor termasuk Kulai, Pasir Gudang, Masai, Cahaya Baru dan Kota Tinggi, pada tahun ini. - DagangNews.com