Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Pendapatan syarikat perkhidmatan pengangkutan marin dan kejuruteraan dalam industri minyak, Bumi Armada Berhad (Bumi Armada) dijangka akan lebih mengukuh selepas berjaya mendapatkan dua kontrak baharu.
MIDF Research berkata, jangkaan peningkatan pendapatan Bumi Armada turut dilihat melalui kontrak
penyewaan kapal kosong (BBC) dan kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) melalui syarikat minyak dan gas di India.
"Kontrak BBC dijangka akan menghasilkan pendapatan kira-kira RM75.5 juta setiap tahun kepada Bumi Armada.
"Sementara kontrak O&M akan menyumbang RM20.8 juta kepada Bumi Armada untuk jangka masa 10 tahun (anggaran RM2.08 juta setahun). Jumlah ini selepas kami mengambil kira usahasama syarikat tersebut untuk kedua-dua kontrak yang dijamin," jelas MIDF Research.
Bumi Armada baru-baru ini mengumumkan syarikatnya berjaya dianugerahkan kontrak BBC melalui syarikat usahasama Armada D1 Pte Ltd (Singapore) dari Oil and Natural Gas Corporation Limited of India (ONGC).
Kontrak tersebut adalah untuk tempoh 10 tahun tetap dengan pilihan lanjutan tambahan hingga lima tahun.
Selain itu, Bumi Armada turut memperoleh 10 tahun kontrak O&M melalui syarikat usahasama Shapoorji Pallonji Armada Oil & Gas Services Pte Ltd (India) (SPAOGSPL) dari ONGC India untuk Armada Sterling FPSO.
Kontrak tersebut juga mempunyai pilihan lanjutan hingga lima tahun.
Tambah MIDF Research, pihaknya turut membuat semakan semula terhadap pendapatan syarikat tersebut bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022.
Semakan tersebut masing-masing ditingkatkan sebanyak 5.8%, 5.4% dan 8.6% selepas mengambil kira sumbangan daripada kontrak baharu dan kos penyusutan yang lebih rendah.
MIDF Research turut mengekalkan saranan 'beli' saham Bumi Armada dengan harga sasaran sesaham bernilai RM0.69. - DagangNews.com