Bursa bergelut sebelum ditutup tinggi, ringgit lemah | DagangNews Skip to main content

Bursa bergelut sebelum ditutup tinggi, ringgit lemah

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Bursa tempatan petang ini ditutup tinggi, menokok 10.98 mata kepada 1,602.95 mata di sebalik jangkitan kes COVID-19 yang mencecah angka 3,027, tertinggi direkodkan Malaysia setakat ini. 

 

Sebelum itu, menurut Reuters, pasaran saham bergelut sebelum ditutup melepasi paras 1,600 mata ekoran peningkatan jangkitan wabak itu akan menyebabkan kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan mungkin melaksanakan PKP bersasar dan setempat, berbeza dengan apa yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu sekiranya kes jangkitan COVID-19 semakin kritikal. 

 

Petang ini, Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam jajaran antara 1,572.62 hingga 1,602.95 mata sebelum ditutup 0.69% lebih tinggi. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 6.51 bilion bernilai RM5.03 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 889 berbanding 360 manakala 402 kaunter tidak berubah. 

 

Pasaran saham Asia, lapor Reuters, mengukuh pada Khamis berikutan prospek rangsangan fiskal yang lebih besar di AS selepas kemenangan Demokrat menguasai Senat kecuali Malaysia yang susut 1% sebelum kemudiannya meningkat semula. 

 

Mata wang Asia juga mengatasi kerugian awal untuk diniagakan mendatar hingga rendah berbanding dolar AS yang merosot.

 

Ringgit petang ini juga menyusut, ditutup pada RM4.0350/0410 , lebih rendah berbanding penutupan semalam, RM4.0080/0130. 

 

Pakar strategi pasaran dan firma kewangan kewangan IG yang berpangkalan di Singapura, Jingyi Pan berkata, pasaran ASEAN dijangka menikmati limpahan positif ini dengan lebih banyak pelepasan suntikan fiskal menerusi pentadbiran AS dan dapat meningkatkan kecenderungan terhadap aset sensitif dalam pertumbuhan ekonomi. - DagangNews.com