Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jan - Bursa Malaysia merekodkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM17.77 juta pada minggu dagangan terakhir 2021, selepas mencatat aliran keluar bersih lima minggu berturut-turut.
Menurut data MIDF Research, pelabur asing merupakan pembeli bersih untuk tiga daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk bersih terbesar dicatatkan pada hari Selasa sebanyak RM110.37 juta.
Institusi tempatan pula merekodkan pembelian bersih terkumpul sebanyak RM274.82 juta sepanjang minggu lalu.
"Bagaimanapun, peruncit merupakan penjual bersih setiap hari sepanjang minggu lalu, susulan pembalikan daripada arah aliran yang dilihat sepanjang 2021.
"Untuk minggu berkenaan, peruncit bersih menjual ekuiti bernilai RM292.59 juta di Bursa.
"Ia merukapan minggu kedua berturut-turut peruncit merekodkan jualan bersih selepas aliran masuk sembilan minggu berturut-turut," kata firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun MIDF berkata, peruncit kekal sebagai satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan untuk 2021, dengan pembelian bersih RM12.14 bilion sepanjang tahun.
Institusi tempatan dan pelabur asing telah penjual bersih masing-masing RM8.99 bilion dan RM3.15 bilion saham tempatan.
Tambah MIDF, Maybank menyaksikan aliran keluar wang bersih terbesar sebanyak RM4.01 juta minggu lepas dengan harga sahamnya adalah +0.61% lebih tinggi untuk minggu tersebut.
"MYEG merekodkan aliran keluar wang bersih kedua terbesar berjumlah RM2.86 juta pada minggu dalam tinjauan manakala CIMB mencatatkan aliran keluar wang bersih ketiga terbesar sebanyak RM2.14 juta," katanya. -DagangNews.com