Bursa ditutup rendah, ringgit cecah RM4.03 | DagangNews Skip to main content

Bursa ditutup rendah, ringgit cecah RM4.03

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Pasaran tempatan petang ini susut 7.06 mata untuk ditutup kepada 1,674.35 mata meskipun dibuka tinggi pada 1,684.27 mata.

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu yang jatuh 0.42% bergerak dalam jajaran antara 1,669.69 hingga 1,684.30 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 9.2 bilion bernilai RM4.32 bilion, lebih rendah berbanding semalam dengan dagangan 11.22 bilion bernilai RM5.21 bilion. 

 

Pergerakan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 790 berbanding 445 manakala 454 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit mengukuh petang ini kepada RM4.0320/0370 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.0490/0540. 

 

Mata wang tempatan itu masih meraih tempias positif daripada kelulusan Belanjawan 2021 di samping faktor-faktor lain antaranya, lonjakan harga minyak global dan keputusan Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah pada 0 hingga 0.25%. 

 

Rakuten Trade Sdn. Bhd. dalam nota kajian berkata, pasaran sudah dijangka kurang mengalami tarikan apabila Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia menamatkan penggantungan Jualan Singkat yang Dikawal Selia (RSS) mulai 1 Januari 2021. 

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan harga saham dalam kalangan komponen FBM KLCI (terutama pengeluar sarung tangan getah) akan terjejas ekoran kesan indeks penanda aras," katanya dalam nota kajian. 

 

Menerusi kenyataan bersama SC dan Bursa Malaysia, penggantungan RSS yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020, akan dipertingkatkan pada 1 Januari 2021 untuk memudahkan pengurusan risiko pelabur. 

 

Langkah itu juga bagi menggalakkan aktiviti Pinjam Meminjam Sekuriti (SBL) yang merupakan elemen penting fungsi pasaran modal untuk memudahcara produk dan aktiviti penggalakan pasaran. 

 

Di pasaran global, Reuters melaporkan, ia melonjak ke paras tertinggi 2 tahun dengan dolar AS merosot ke paras 2 tahun terendah manakala harga minyak pula meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 9 bulan.

 

Perkembangan positif ini menandakan sokongan monetari dan harapan terhadap rangsangan fiskal AS, secara tidak langsung meletakkan peniaga dalam mood yang baik.

 

Ini menyaksikan harga minyak mentah Brent naik hampir 1% keapda AS$51.54 setong, tertinggi sejak awal Mac. 

 

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Mizuho di Singapura, Vishnu Varathan menyifatkan terdapat 2 faktor utama yang merangsang pasaran iaitu sokongan dasar monetari dan pelancaran vaksin di peringkat global.  - DagangNews.com