Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 April - Suntikan pemangkin di pasaran saham tempatan mula pudar apabila indeks penanda arasnya menyaksikan kemerosotan seiring pasaran serantau.
Setakat 5 petang, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup 3.83 mata atau 0.24% lebih rendah kepada 1,608.42 daripada paras yang ditutup pada petang Jumaat, 1,612.25.
Dagangan juga berprestasi negatif apabila sebanyak 667 kaunter rugi, mengatasi 411 kaunter untung.
Jumlah dagangan pula mencecah 5.83 bilion dengan nilai pasaran, RM3.35 bilion.
Di peringkat pasaran serantau, rata-rata saham Asia turut menonjolkan prestasi penurunan ekoran kebimbangan pelabur terhadap prospek inflasi dan penularan COVID-19.
Menurut Trading Economics, para pelabur juga sedang menunggu musim perolehan korporat di Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, sementara angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China juga akan dikeluarkan dalam tempoh sama.
Bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS, pada kadar RM4.1320/4.1360 daripada paras RM4.1330/4.1370, dicatatkan Jumaat lalu. - DagangNews.com