Bursa lengkapkan serahan fizikal pertama MGS | DagangNews Skip to main content

Bursa lengkapkan serahan fizikal pertama MGS

 

 

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Bursa Malaysia Derivatives Berhad (BMD) melengkapkan serahan fizikal pertama Kontrak Niaga Hadapan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 5 Tahun (FMG5). 

 

Ini berikutan pelancaran semula FMG5 pada 18 September lalu dengan metodologi penyelesaian yang dikaji semula daripada serahan tunai kepada serahan fizikal.

 

Serahan MGS tersebut yang berjumlah RM11 juta mengikut nilai prinsipal daripada penjual kepada pembeli FMG5 telah dilakukan mengikut model Serahan lawan Bayaran (DvP) di dalam sistem Rentas. 

 

Setakat 1 Disember 2020, nilai kumulatif dagangan MGS berjumlah RM30 juta sejak pelancaran semula FMG5. 

 

Fungsi Securities Linked Settlement (SLS) yang terdapat di Rentas telah digunakan buat pertama kalinya. 

 

Ia membolehkan Bursa Malaysia Derivatives Clearing Berhad untuk bertindak sebagai pihak berlawanan bagi memudahkan pertukaran MGS dan bayaran tunai.

 

Malah, ini juga merupakan transaksi 3 pihak DvP melibatkan pembeli, penjual dan pusat pihak berlawanan, manakala DvP lain di Rentas hanya melibatkan 2 pihak.

 

Pengerusi BMD dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, penyerahan pertama ini menunjukkan kecekapan mekanisme serahan MGS yang diadakan oleh Bursa dan bahagian penjelasan

 

Katanya, perubahan dalam cara penyelesaian adalah modifikasi penting yang akan menambah tarikan FMG5 sebagai instrumen pengurangan risiko untuk pegangan MGS.

 

"Kami berharap mekanisme serahan tanpa halangan ini akan membolehkan kewujudan kemudahan berasaskan pasaran untuk pengurusan risiko dan penetapan harga di pasaran MGS,” katanya.

 

Mekanisme serahan yang dipertingkatkan ini, adalah selari dengan inisiatif pembangunan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) merupakan penambahbaikan yang ketara ke arah akses pasaran dan kecairan di dalam pasaran kewangan tempatan. 

 

Peserta-peserta pasaran akan mendapat manfaat daripada pasaran dalam negeri yang telus dan teratur. - DagangNews.com