Bursa Malaysia agih sumbangan lebih RM250,000 kepada 6 badan kebajikan terpilih | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia agih sumbangan lebih RM250,000 kepada 6 badan kebajikan terpilih

KUALA LUMPUR 26 Mac - Bursa Malaysia Berhad menyerahkan sumbangan sejumlah RM250,125 kepada enam badan kebajikan terpilih hasil daripada pemulangan Zakat Wakalah daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

 

Kesemua enam badan kebajikan itu dipilih berdasarkan kepada Garis Panduan Agihan Zakat Wakalah dengan mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan PPZ selain lapan syarat wajib untuk berada dalam kategori asnaf.

 

Badan kebajikan yang terpilih terlibat dengan aktiviti peningkatan kemahiran untuk masyarakat teringgir, pemberian bantuan banjir dan keusahawan pertanian.

 

Bursa Malaysia juga menetapkan syarat tambahan untuk pengagihan dana itu dengan pemohon perlu memberi fokus kepada projek berimpak tinggi selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

 

Bagi memastikan syarat pengagihan dipenuhi, Jawatankuasa Pengagigan Zakat memerlukan laporan prestasi daripada penerima iaitu enam bulan selepas pengagihan dan laporan itu akan diserahkan kepada PPZ untuk dinilai.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya komited untuk memenuhi kwajipan zakat terhadap projek komuniti yang dilihat mampu memberi manfaat secara positif kepada masyarakat.

 

"Kami akan terus memperkasakan komuniti dan memberikan sokongan kewangan kepada mereka yang kurang bernasib baik terutama menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi," katanya. - DagangNews.com