Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities, Ruzi Ajith
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Bursa Malaysia Berhad berkolaborasi dengan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd bagi menganjurkan acara hackathon InvestHack dari 20-22 November 2020.
Bertemakan InvestHack: Reimagine Investing, pertandingan ini bertujuan untuk membina rumusan-rumusan inovatif yang dapat meningkatkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) turut berganding bahu sebagai rakan komuniti dalam penganjuran pertandingan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya teruja untuk menganjurkan pertandingan ini bersama rakan kongsinya, CGS-CIMB Securities untuk mewujudkan peluang-peluang baharu untuk melayani keperluan komuniti pelaburan dengan lebih baik.
"Teknologi adalah pemboleh pertumbuhan yang kritikal dan Bursa Malaysia sentiasa mencari idea baharu dan rumusan teknologi yang terkini. Kami berharap platform ini dapat memberi dorongan dan inspirasi untuk menjana idea-idea kreatif yang akan memberikan nilai baru pada pasaran saham," katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB, Ruzi Ajith berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pertandingan ini bersama dengan Bursa Malaysia, kerana platform ini mendorong syarikatnya untuk melihat pelaburan dari perspektif yang berbeza.
"Kami menantikan idea-idea baharu inovatif yang dapat memperbaiki lagi pasaran saham runcit kita," kata beliau.
Penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia telah menyaksikan perkembangan yang ketara pada tahun ini disebabkan pelbagai faktor yang berkaitan dengan pandemik COVID-19. Setakat akhir September 2020, penyertaan pelabur runcit mencatatkan tahap tertinggi dalam 10 tahun, iaitu sebanyak 33.2%, manakala Nilai Harian Purata (NHP) meningkat sebanyak 231.4% kepada RM1.327 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019.
Usaha untuk mengekalkan penyertaan yang aktif oleh pelabur runcit amat penting ke arah pasaran sekuriti yang rancak dan Bursa Malaysia merancang untuk memberi fokus pada penggunaan teknologi demi membangunkan pasaran yang lebih berdaya saing. Oleh itu, Bursa Malaysia dan CGS-CIMB menjemput semua pihak yang berminat untuk menyertai pertandingan hackathon ini. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari https://www.bursamarketplace.com/investhack-2020/.
Pertandingan hackathon InvestHack tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan dan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 kepada para pemenang. Pasukan yang menyertai InvestHack dikehendaki untuk menangani salah satu daripada empat cabaran untuk memperbaiki ekosistem pelaburan runcit, seperti berikut:
Cabaran 1: Menarik minat lebih ramai pelabur runcit di Malaysia terhadap pelaburan dalam pasaran saham.
Cabaran 2: Meningkatkan pelabur runcit yang celik kewangan di Malaysia.
Cabaran 3: Membantu pelabur runcit Malaysia untuk mengatasi tingkah laku kawan ketika melabur dalam pasaran saham.
Cabaran 4: Menangani pertanyaan umum: "Adakah anda mempunyai petua saham?"
Acara hackathon secara maya selama 3 hari ini akan berlangsung melalui platform interaktif, untuk pasukan-pasukan yang terdiri daripada tiga hingga lima orang peserta. Pasukan-pasukan yang berdaftar akan dijemput untuk taklimat secara maya pada 16 November 2020 untuk membincangkan pernyataan masalah dengan lebih lanjut.
Semasa acara utama, para peserta akan dibimbing oleh mentor-mentor yang berpengalaman, diikuti dengan dua pusingan pembentangan untuk memilih tiga pemenang teratas. - DagangNews.com