Bursa Malaysia dijangka catat prestasi terbaik | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia dijangka catat prestasi terbaik

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Peningkatan penyertaan pelabur runcit dan asing yang kembali semula ke pasaran ekuiti akan menyumbang kepada prestasi nilai purata harian (ADV) Bursa Malaysia Bhd. yang lebih baik tahun ini, ramal Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Antara faktor yang mendorong kepada perkembangan positif ini terutamanya landasan pemulihan ekonomi yang masih tidak menentu dan juga pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu. 

 

Penganalisisnya, Jeremy Goh berkata, ini akan menyaksikan Bursa Malaysia merekodkan pendapatan teras sukuan antara RM100 hingga RM105 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tahun kewangan kepada RM370 juta, meningkat hampir 2 kali ganda. 

 

Unjuran itu dibuat berdasarkan ADV Bursa sebanyak RM4.83 bilion bagi suku keempat (meningkat 170% tahun ke tahun, susut 16% suku ke suku), jika tiada sebarang perubahan dijangka dalam struktur kos. 

 

"Berpandukan kepada anggaran julat yang rendah, Bursa Malaysia dijangka merekodkan pendapatan tahun kewangan 2020 melebihi RM370 juta, meningkat hampir 2 kali ganda daripada RM189.2 juta yang direkodkan pada 2019," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Malah, Goh juga percaya, separuh pertama tahun ini akan menyaksikan lebih banyak 'pasaran dagangan' memandangkan para pelabur begitu aktif meniagakan saham-saham berkaitan pemulihan ekonomi dan sarung tangan getah. 

 

Walaupun pelancaran vaksin COVID-19 akan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi tahun ini, tetapi beliau menjangkakan masih wujud ketidaktentuan sepanjang menuju pemulihan. 

 

"Ini kerana terdapat banyak aliran berita yang bertentangan dengan pelancaran vaksin yang dilihat positif dan peningkatan kes COVID-19 sama ada di dalam mahupun luar negara. 

 

"Pada masa sama, ketidaktentuan ini juga dipengaruhi pengenalan semula kawalan jualan pendek (RSS) baru-baru ini," katanya.  

 

Bursa Malaysia dijangka mengeluarkan prestasi kewangan bagi suku keempat 2020 pada 2 Februari ini.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB Research, Winson Ng berkata, Bursa Malaysia dijangka merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM99.3 juta bagi suku tersebut, iaitu 18.5% lebih rendah berbanding RM121.9 juta pada suku sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, pertumbuhan keuntungan bersih tahun ke tahun masih kekal kukuh dijangka meningkat 117.8% pada suku keempat 2020. 

 

"Ini mencerminkan suku kedua berturut-turut Bursa Malaysia akan merekodkan 3 digit keuntungan bersih selepas ia menguncup 158% pada suku ketiga. 

 

"Untuk itu, kami menjangkakan Bursa Malaysia akan merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM372.2 juta bagi tahun kewangan 2020, peningkatan 4.6% berbanding unjuran kami sebelum ini (RM355.7 juta) berikutan peningkatan ADV yang lebih tinggi di luar jangkaan dalam pasaran ekuiti," katanya.  

 

ADV dalam pasaran ekuiti susut 14.8% suku ke suku kepada RM5 bilion pada suku keempat 2020, apabila moratorium menyeluruh berakhir 30 September lalu. 

 

Keadaan ini menyebabkan peminjam perlu membayar semula pinjaman mereka pada suku keempat sekali gus mengurangkan kecairan dalam pasaran ekuiti.

 

"Bagaimanapun, ADV bagi tahun ke tahun kekal kukuh dengan meningkat sehingga 143% pada suku keempat kepada RM5 bilion berbanding RM2.05 bilion bagi tempoh sama 2019," katanya.    

 

Pelabur juga jelasnya, kembali menunjukkan minat kepada saham-saham berkaitan perbankan pada suku keempat 2020, yang dijangka berterusan sehingga 2021. - DagangNews.com