Bursa Malaysia jadi Pusat Sehenti bagi IPO Pasaran ACE dan pendaftaran Prospektus | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia jadi Pusat Sehenti bagi IPO Pasaran ACE dan pendaftaran Prospektus

 

KUALA LUMPUR 20 Dis -  Bursa Malaysia Berhad (Bursa) menjadi pihak berkuasa tunggal yang meluluskan Tawaran Awam Awal (IPO) Pasaran ACE, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

 

Dalam pengumuman bersama hari ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa menyatakan, Bursa akan menjadi pusat sehenti bagi semua kelulusan IPO Pasaran ACE di bawah rangka kerja kawal selia baharu tersebut.

 

Ini turut merangkumi pendaftaran prospektus ringkas untuk tujuan aktiviti pengumpulan dana sekunder melalui terbitan hak oleh syarikat tersenarai di Pasaran ACE.

 

Pengumuman proses memperkemas proses penyenaraian dan kelulusan ACE telah dibuat oleh SC pada Julai 2021.

 

Dalam tempoh peralihan, SC akan terus mendaftarkan prospektus Pasaran ACE yang telah dikemukakan kepada SC sebelum 1 Januari 2022.

 

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, memperkemas proses penyenaraian dan rangka kerja kawal selia bagi Pasaran ACE merupakan sebahagian daripada inisiatif SC di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 3 bertempoh lima tahun untuk meningkatkan kecekapan pengumpulan dana bagi syarikat di Malaysia di pelbagai peringkat pertumbuhan.

 

Lebih penting lagi kata beliau, syarikat yang ingin disenaraikan di Pasaran ACE akan meraih manfaat daripada proses penyenaraian yang lancar di samping mengekalkan tahap perlindungan pelabur.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, peraturan IPO baharu ini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses IPO Pasaran ACE, yang menyediakan sistem yang memudahcarakan syarikat-syarikat yang memohon penyenaraian di Bursa.

 

“Pasaran ACE memudahcarakan syarikat yang layak, terutamanya syarikat kecil dan sederhana untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka melalui IPO dengan cara yang cekap, mampan dan kos efektif,'' katanya.

 

Semakan semula tersebut juga membawa kepada penambahbaikan lain kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE untuk mengukuhkan perlindungan pelabur.

 

Di bawah sistem penajaan yang dipertingkatkan, lebih penekanan akan diberikan kepada kewajipan Penaja dan pegawai utamanya untuk memastikan kesahihan, ketepatan dan lengkapnya pengemukaan yang dibuat kepada Bursa, serta penzahiran kepada pasaran.

 

Selain daripada Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE, Bursa juga jtelah mempertingkatkan rangka kerja Penasihat Utama di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, sejajar dengan rangka kerja penasihat utama SC yang diiktiraf dan mengukuhkan akauntabiliti penasihat tersebut dan pegawai utamanya.

 

Khususnya, cadangan penting seperti Pelupusan Utama kini akan tertakluk kepada penyeliaan dan pemantauan yang dipertingkat oleh penasihat utama yang diiktiraf dan pegawainya. - DagangNews.com