Bursa Malaysia lancar F4GBMS rangkumi ekuiti patuh Shariah | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lancar F4GBMS rangkumi ekuiti patuh Shariah

KUALA LUMPUR 6 Julai - Bursa Malaysia Bhd dan FTSE Russell, penyedia indeks global terkemuka melancarkan indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah (F4GBMS) Isnin, untuk menjadi asas bagi pengurus dana untuk membangunkan  produk pelaburan baharu terdiri daripada portfolio ekuiti patuh Shariah yang dibimbing oleh prinsip pelaburan mampan.

 

Penyelesaian pelaburan tersebut termasuk Dana ESG Mustadamah ditubuhkan oleh MIDF Asset Management  yang menggabungkan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), ia dilancarkan pada Jun 2021.

 

Komposisi indeks berkenaan terdiri daripada 54 syarikat-syarikat konstituen pada bulan Jun 2021, dikaji setiap tahun pada bulan Jun dan Disember.

 

“Indeks bercirikan ESG baharu ini dibentuk  untuk mengesan  syarikat-syarikat konstituen dalam Indeks F4GBM yang mematuhi Shariah, menurut metodologi saringan Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

"Kami gembira kerana menawarkan versi Shariah daripada indeks F4GBM, ia telah memainkan peranan penting dalam mengenali syarikat tersenarai awam yang telah mengambil langkah untuk memperbaiki amalan dan pengisytiharan  ESG mereka," kata  Ketua  Pegawai  Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Pelancaran indeks  itu menekankan  komitmen  Bursa Malaysia  dalam memenuhi keperluan  pengindeksan pasaran  berikutan  fokusnya  kepada kepelbagaian dan pengembangan penawaran indeks untuk memasukkan lebih indeks bertema.

 


Sementara itu, Ketua Pelaburan Mampan FTSE Russell, APAC, Helena Fung berkata dijejaki secara meluas oleh dana yang didagangkan di bursa dan syarikat pasif lain, indeks FTSE4Good mempunyai rekod prestasi yang kukuh untuk mendorong peningkatan prestasi kemampanan korporat dengan melonjakkan syarat kelayakan dari semasa ke semasa.

 

"Bekerja dengan rakan kongsi kami di Bursa Malaysia adalah penting untuk kami menambahkan versi patuh Shariah daripada indeks F4GBM yang popular untuk memenuhi permintaan pelabur untuk penyelesaian indeks ESG dan patuh Shariah," katanya. - DagangNews.com