Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bursa Malaysia telah meluluskan cadangan Atta Global Group Berhad (Atta) untuk menyenaraikan dan menyebut harga 153.33 juta terbitan saham baharu kumpulan menerusi kaedah penempatan saham.
Menurut TA Securities yang mewakili Atta, langkah tersebut adalah tertakluk kepada beberapa syarat seperti mana dimaklumkan Bursa Malaysia dalam suratnya bertarikh 18 Ogos 2021.
“Atta dan TA Securities perlu mematuhi sepenuhnya keperluan yang berkaitan di bawah Syarat Penyeraian, berhubung pelaksanakan cadangan penempatan saham.
“Atta dan TA Securities diminta untuk memaklumkan kepada Bursa Securities selepas langkah penempatan saham itu diselesaikan,” jelas kumpulan mengenai dua syarat pertama daripada empat syarat yang digariskan, menerusi maklumannya di Bursa Malaysia.
Pada 5 Ogos lalu, Atta mengumumkan bahawa kumpulan berhasrat untuk melaksanakan penempatan saham dengan harga terbitan akan ditentukan kemudian, yang bertujuan bagi membiayai pembangunan projek Sky Urban Condominium, modal bekerja untuk kumpulan serta perbelanjaan bagi pelaksanaan penempatan saham.
Dalam pengumuman tersebut, Atta menetapkan harga terbitan indikatif pada RM0.46 sesaham, sekali gus dijangka membawa kepada hasil RM9.86 juta pada senario minimum dan RM70.53 juta pada senario maksimum.
Daripada jumlah berkenaan, kumpulan berhasrat untuk memperuntukkan RM33.63 juta untuk pembangunan projek Sky Urban Condominium yang dijalankan oleh anak syarikat milik penuhnya, Sunrise Manner Sdn Bhd.
Sementara, sebanyak RM36.43 juta lagi akan digunakan untuk modal bekerja yang merangkumi pembayaran kepada staf seperti gaji, elaun dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pembayaran hutang perdagangan kumpulan berhubung bahagian pembangunan hartanahnya untuk pembelian bahan mentah seperti keluli, simen dan konkrit sedia guna. - DagangNews.com