KUALA LUMPUR 20 Jan - Life Water Bhd memulakan operasi kilang Keningau, Sabah bagi meningkatkan jumlah kapasiti pengeluarannya sebanyak 15% kepada 448 juta liter setahun.
Kemudahan baharu itu akan menambah 59 juta liter kepada kapasiti syarikat sebelum ini iaitu 389 juta liter.
Terletak di kawasan pedalaman Sabah, kilang Keningau akan meningkatkan akses produk Life Water kepada pelanggan luar bandar, mengoptimumkan operasi rantaian bekalan dan mengurangkan kos logistik.
Pengilang minuman itu berkata, perkembangan strategik ini menggariskan komitmen kumpulan untuk meningkatkan operasi dan kehadirannya di pasaran selepas penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
"Dibiayai oleh sebahagian daripada hasil IPO, unit pertama dijangka mula beroperasi menjelang suku pertama 2025, dengan unit kedua dijadualkan beroperasi pada separuh kedua 2025.
"Penambahan dua mesin PET Preform Injection di kilang ini akan memperkemas pengeluaran botol dan meningkatkan kecekapan operasi bagi memacu pertumbuhan pengeluaran syarikat.
"Mesin canggih ini juga direka untuk memenuhi keperluan pengeluaran masa hadapan kilang Keningau dan Sandakan Sibuga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Urusan Life Water, Liaw Hen Kong berkata, permulaan operasi kilang Keningau bukan sahaja mewakili kejayaan korporat tetapi juga merupakan sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi Sabah.
"Terletak di kawasan luar bandar, kilang itu akan mengukuhkan rangkaian bekalan tempatan, memupuk pertumbuhan dalam industri sekunder dan meningkatkan kestabilan ekonomi serantau.
"Kilang ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dan bekerjasama dengan pembekal komuniti sekaligus memperkasakan rantau ini dan menyumbang kepada kemajuan mampan," katanya.
Selaras dengan pengembangan selepas penyenaraiannya, Life Water sedang meneroka peluang pertumbuhan selanjutnya di seluruh Sabah dan wilayah lain bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Selain itu, syarikat sedang berusaha untuk melengkapkan Pusat Pengedaran Tawau yang menggunakan logistik optimum dan memastikan penghantaran cekap di seluruh rantau ini. - DagangNews.com