Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pentabiran baharu kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka berdepan cabaran dalam usaha menangani situasi pandemik dan menghidupkan semula ekonomi yang terjejas akibat krisis wabak COVID-19.
Penganalisis AmInvestment Bank Research, Joshua Ng berkata, keadaan dilihat tenang selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 bulan lalu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Tetapi, mereka berdepan cabaran dalam merangka inisiatif jangka panjang memandangkan keutamaan ketika ini adalah menurunkan jangkitan wabak secara signifikan bagi membolehkan ekonomi dibuka semula lebih lama.
"Apabila sasaran ini berjaya dicapai, Parlimen bersedia untuk pembubaran sekali gus membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri mengarahkan supaya kadar vaksinasi di 6 negeri ditingkatkan melebihi 50% menjelang hujung bulan depan.
Negeri berkenaan iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50% setakat ini.
Joshua turut mengekalkan jangkaan asas bahawa Malaysia akan mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.
Ini berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh pangkalan data Our World in Data mendapati setakat 29 Ogos 2021, populasi penduduk di negara ini yang memperoleh sekurang-kurangnya 1 dos vaksin adalah 59%, dan ini tidak jauh daripada yang dicapai negara maju antara 61% hingga 78%.
"Kami optimis, dunia akan memasuki peringkat terakhir pandemik ini dalam beberapa bulan akan datang, dengan lebih banyak negara mencapai imuniti kelompok.
"Walaupun varian Delta mencetuskan gelombang baharu di seluruh dunia tetapi kadar kemasukan ke hospital masih terkawal kerana pesakit yang sudah menerima vaksin hanya memiliki simptom yang ringan, sekali gus mengurangkan risiko kepada sistem penjagaan kesihatan," jelasnya.
Sehubungan itu, AmInvestment mengekalkan unjuran akhir tahun FBM KLCI sekitar 1,695 mata berdasarkan 16x unjuran pendapatan bagi 2021.
Bank pelaburan itu berpendapat, ia adalah pengurangan bagi purata 5 tahun sebanyak 18x untuk menangani lonjakan pendapatan daripada pengeluar sarung tangan getah seperti Top Gloves Corp. Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. pada 2021 kerana harga jualan sarung tangan getah yang tinggi.
Pada masa sama, tambahnya, ia turut mengambil kira faktor premium risiko pasaran yang timbul ekoran perubahan landskap politik.
Namun, di sebalik kenaikan KLCI beberapa minggu lalu, Joshua berkata, bursa tempatan secara dasarnya masih menunjukkan prestasi rendah berbanding pasaran serantau dan global lain setakat ini.
"Ini bukan satu kerugian kerana kami percaya masih ada sinar yang positif apabila pasaran tempatan akan mula beralih rentak kepada saham pemulihan bagi baki tahun 2021," tambahnya.
Saham-saham yang dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi domestik dan global termasuklah
Malayan Banking Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Telekom Malaysia Bhd, RHB Bank Bhd, Westports Holdings Bhd, Astro Malaysia Holdings Bhd, ATA IMS Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd dan Perak Transit Bhd.
Dari segi sektor, firma itu memberi saranan 'overweight' ke atas automotif, simen, pengguna, EMS, perkhidmatan kewangan, media, minyak dan gas, tenaga, REIT, telekomunikasi serta pengangkutan dan logistik. - DagangNews.com