Bursa Malaysia sahkan 2 kakitangan positif COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia sahkan 2 kakitangan positif COVID-19

COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Dua kakitangan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) disahkan positif wabak COVID-19.

 

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kedua-dua kakitangan tersebut telah diasingkan dan dikuarantin di rumah.

 

"Bursa Malaysia telah melakukan pengesanan kontak rapat terhadap kakitangan yang dijangkiti.

 

"Sebagai tindak balas segera, kakitangan Bursa Malaysia yang telah berhubung rapat dengan kakitangan yang terlibat akan dihantar untuk ujian saringan dan akan bekerja dari rumah hingga keputusan ujian kembali negatif.

 

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kakitangan yang   tidak mempunyai kontak rapat juga akan bekerja dari rumah," jelas Bursa Malaysia hari ini.

 

Mengulas lanjut, Bursa Malaysia berkata, kakitangan tidak berbubung rapat dengan dua pekerja berkenaan juga akan diberi sokongan yang diperlukan sekiranya mereka memilih untuk menjalankan ujian secara sukarela.

 

Proses pembersihan dan sanitasi juga sedang dijalankan bagi melindungi aspek keselamatan dan kesejahteraan para pekerja.

 

"Bursa Malaysia mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pekerja kami. Kami akan terus menjalankan langkah pencegahan yang perlu sebagaimana yang dilakukan sejak penularan wabak ini.

 

"Kami ingin memastikan bahawa bursa saham dapat beroperasi seperti biasa. Tidak ada gangguan pada fungsi sokongan dan kritikal kami di Bursa dan pelan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan yang telah disediakan untuk memastikan kelancaran operasi kami sekiranya berlaku kejadian tersebut.

 

"Kami akan terus memantau perkembangan tersebut dengan teliti dan menyediakan kemas kini berdasarkan maklumat semasa," tambah Bursa Malaysia lagi. - DagangNews.com