Bursa Malaysia tegur Serba Dinamik, denda 10 pengarahnya RM355,200 hingga RM1.38 juta kerana langgar keperluan penyenaraian Pasaran Utama | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia tegur Serba Dinamik, denda 10 pengarahnya RM355,200 hingga RM1.38 juta kerana langgar keperluan penyenaraian Pasaran Utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - Bursa Malaysia Securities Berhad telah menegur Serba Dinamik Holdings Berhad (dalam pembubaran) dan 10 pengarahnya secara terbuka kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama). 

 

Pada masa sama, Bursa Malaysia turut mengenakan denda antara RM355,200 hingga RM1.38 juta terhadap 10 pengarah kumpulan itu.

 

Kumpulan itu telah ditegur secara terbuka kerana melanggar peruntukan LR Utama kerana kegagalan untuk mengumumkan kemas kini penemuan fakta dengan segera dan mengikut arahan Bursa Malaysia Securities selain dua pelanggaran laporan kewangan termasuk kelewatan mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 dan laporan suku tahunan tidak tepat pada 30 Jun 2021.

 

Selain itu Serba Dinamik juga ditegur kerana melakukan tiga pelanggaran pendedahan termasuk kegagalan melaukan pembayaran, penafian pendapat serta pengumuman pertama Nota Amalan 17 (PN17) dan litigasi material & petisyen penggulungan. 

 

"Kumpulan itu juga dikehendaki menyemak dan memastikan kecukupan serta keberkesanan fungsi pelaporan kewangannya.

 

"Mereka juga perlu menjalankan semakan ke atas penyerahan laporan suku tahunan syarikat dan mematuhi keperluan latihan yang dikenakan oleh Bursa Securities," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

serba
Datuk Dr. Ir. Mohd. Abdul Karim Abdullah

 

Dalam perkembangan sama, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr. Ir. Mohd. Abdul Karim Abdullah turut ditegur secara terbuka dan didenda sebanyak RM1.38 juta kerana telah melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan syarikat melakukan pelanggaran peraturan LR Utama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bursa Malaysia tegur, denda RM15,000 Pengarah Urusan Serba Dinamik kerana langgar keperluan penyenaraian Pasaran Utama

 

Sebelum ini, Abdul Karim pernah ditegur secara terbuka dan didenda sebanyak RM15,000 kerana melanggar perenggan 14.08(d) LR Utama kerana gagal memberi notis kepada setiausaha syarikat dalam tempoh sehari pasaran penuh selepas pelupusan 108 juta saham kumpulan itu pada 9 Mei 2022.

 

Selain beliau Pengarah Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim bin Syed Faisal juga didenda sebanyak RM1.38 juta kerana melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama manakala Pengerusi kumpulan, Datuk Abdul Kadier Sahib didenda RM785,400 bagi kesalahan sama.

 

Selain mereka, tujuh lagi pegarah kumpulan itu turut didenda termasuk Datuk Awang Daud Awang Putera sebanyak RM710,400, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed (RM600,000), Johan Mohamed Ishak (RM600,000), Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hasan (RM630,200) dan Siti Zaleha Sulaiman (RM655,200).

 

Dua lagi pengarah yang turut didenda oleh Bursa Malaysia atas kesalahan sama adalah Abu Bakar Uzir sebanyak RM360,400 dan Azri Azerai sebanyak RM355,200.

 

"Penemuan pelanggaran serta dennda yang dikenakan ke atas Serba Dinamik dan pengarahnya dibuat berdasarkan perenggan 16.19 LR Utama selepas proses yang sewajarnya selesai.

 

"Ia dibuat dengan mengambil kiran semua fakta dan keadaan termasuk pelanggaran material, kesan pelanggaran terhadap kumpulan dan pemegang saham serta peranan serta tanggubfjawab pengarah," katanya. - DagangNews.com