KUALA LUMPUR 5 Nov - Bursa Malaysia Securities Bhd. hari ini mempersoalkan pergerakan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) NWP Holdings Bhd. berikutan kenaikan harga dan jumlah sahamnya sejak akhir-akhir ini.
Ketika mengakhiri dagangan, saham NWP mendahului kaunter paling aktif dengan menyaksikan 170.24 juta saham diniagakan.
Harga sahamnya menokok 2 sen atau 6.67% untuk ditutup pada 32 sen, menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM168.45 juta.
Sejak awal minggu, harga saham syarikat pengeluar produk kayu ini telah mengukuh sehingga 30.6%.
Sehubungan itu, Bursa Securities telah mengarahkan syarikat itu membuat semakan dengan lembaga pengarah dan pemegang sahamnya mengenai punca kenaikan harga saham dan menasihati pelabur dengan sewajarnya.
"Pelabur dinasihatkan mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat kepada pertanyaan UMA, yang akan dipamerkan di laman web Bursa Malaysia di pengumuman syarikat, apabila mereka membuat keputusan pelaburan," jelasnya.
Pada 28 Oktober lalu, NWP mengumumkan ia memeterai perjanjian usaha sama untuk menubuhkan syarikat baharu bagi membangunkan dan mengkomersialkan platform teknologi hartanah untuk kegunaan agensi hartanah, pembeli rumah dan syarikat pengurusan hartanah. - DagangNews.com