Bursa, ringgit disuntik 'semangat' baharu | DagangNews Skip to main content

Bursa, ringgit disuntik 'semangat' baharu

 

 

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Bursa tempatan mengakhiri dagangan minggu ini dengan mengekalkan momentum kenaikan apabila petang ini melonjak 30.19 mata ditutup kepada 1,684.58 mata. 

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.82% dan bergerak dalam jajaran antara 1,660.49 hingga 1,689.77 mata. 

 

Jumlah dagangan pula ialah 9.93 bilion bernilai RM6.14 bilion. 

 

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 690 berbanding 626 manakala 432 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit turut mengukuh ditutup pada RM4.0515/0545 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi berbanding penutupan semalam pada RM4.0600/0620.   

 

Pasaran menerima suntikan positif kenaikan harga minyak hari ini apabila Brent melepasi paras AS$50 setong, tertinggi sejak Mac lalu di samping harapan terhadap vaksin COVID-19. 

 

Mata wang negara ekonomi baharu muncul juga mengukuh di sebalik kelemahan dolar. Ia turut ringgit mengukuh 2%, mencapai paras tertinggi dalam tempoh 7 bulan, lapor Reuters. Malaysia merupakan pengeksport bersih minyak mentah.

 

Penganalisis Affin Hwang Investment Bank Bhd. Tan Jianyuan dalam nota kajian hari ini berkata, sektor minyak dan gas akan kekal tidak menentu apabila memasuki tahun hadapan ekoran ketidaktentuan harga minyak global akan berterusan sehingga pemulihan dalam permintaan dan bekalan benar-benar stabil.  

 

"Dalam masa sama, masih wujud risiko sekiranya pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) mengurangkan lagi pengeluaran. 

 

"Kami percaya perbelanjaan modal (capex) mungkin tidak menunjukkan perubahan sehingga harga minyak menunjukkan tanda-tanda sudah stabil," katanya. 

 

Menurut AFP, pasaran saham Asia kembali meningkat hari ini apabila sentimen pelabur meningkat didorong oleh perkembangan vaksin COVID-19. 

 

Tetapi, rundingan Brexit yang rumit dan perbincangan mengenai rangsangan fiskal AS akan membataskan keuntungan dalam aset-aset berisiko.  

 

Pakar strategi di Commonwealth Bank of Australia, Joseph Capurso dalam laporan itu berkata, penggubal dasar di AS sedang berusaha untuk memuktamadkan pakej bantuan COVID-19. 

 

"Ini kerana ekonomi AS memerlukan pakej fiskal ini apabila sekatan semakin diperluaskan. Perintah berkurung ini menyebabkan perniagaan ditutup dan mengelakkan perbelanjaan," katanya. - DagangNews.com