Bursa, ringgit merosot tunggu pengumuman PM | DagangNews Skip to main content

Bursa, ringgit merosot tunggu pengumuman PM

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pasaran yang ternanti-nanti pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi menangani peningkatan kes COVID-19, mengakhiri dagangan petang ini dengan susut hampir 1%. 

 

Indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu ditutup pada 1,617.25 mata setelah jatuh 15.94 mata. 

 

Ia menyaksikan 6.53 bilion saham diniagakan bernilai RM5.52 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 650 berbanding 490 manakala 481 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran ditutup lebih rendah dalam dagangan hari ini selepas pelabur mengambil keputusan untuk mengaut keuntungan selepas peningkatan pada Jumaat dengan kemungkinan perintah sekatan pergerakan yang lebih ketat akan mengehadkan pemulihan ekonomi tahun ini. 

 

"Kaunter sarung tangan getah, yang merupakan sebahagian daripada komponen 30 FBM KLCI seperti Top Glove, Hartalega dan Supermax pula berada dalam wilayah negatif selepas mengalami kerugian lebih daripada 1%. 

 

"Indeks penjagaan kesihatan juga rendah 0.7% dalam dagangan hari ini," katanya kepada DagangNews.com petang ini.

 

Sementara itu, menurut beliau, kaunter perladangan di bawah indeks FBM KLCI seperti Kuala Lumpur Kepong, PPB Group dan Sime Darby Plantation mencatat peningkatan harian. 

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia hari ini melaporkan stok minyak sawit mentah jatuh 19.2% kepada 583,761 tan metrik pada Disember berbanding 722,451 pada bulan sebelumnya. 

 

"Ini menyaksikan indeks perladangan meningkat 0.9%. Penurunan stok minyak sawit  ini bermakna harga minyak sawit mentah akan meningkat sekali gus menarik minat pembelian dalam sektor ini," katanya. 

 

Dari segi pasaran kewangan pula, beliau berkata, ringgit susut 0.5% berbanding dolar AS untuk mencecah RM4.0515 pada Isnin di tengah-tengah ketidaktentuan dalam landskap Malaysia ketika ini. 

 

"Malah, ringgit dijangka terus menyusut jika PKP dilaksanakan yang juga akan menyebabkan pasaran berlegar di bawah 1,600 mata," jelasnya. 

 

Sementara itu, Hong Leong IB Research berkata, meskipun keseluruhan pasaran dijangka kukuh tahun ini tetapi beberapa faktor akan membawa kepada ketidaktentuan dan mungkin diburukkan lagi dengan situasi politik dan pengenalan penjualan pendek.

 

"Jumaat lalu pasaran mengatasi paras rintangan antara 1,600 hingga 1,618 mata didorong kaunter sarung tangan getah. 

 

"Tetapi, dengan perkembangan mengenai pelancaran vaksin COVID-19, peningkatan kes baharu wabak dan jangkaan pelaksanaan PKP akan menyaksikan pasaran tidak menentu," katanya dalam nota kajian. 

 

Malacca Securities Research pula menjangkakan sektor penjagaan kesihatan akan menyaksikan pembelian semula ekoran kebimbangan pandemik ini yang dijangka berterusan. - DagangNews.com