Bursa-SC beri pelepasan sementara buat syarikat tersenarai | DagangNews Skip to main content

Bursa-SC beri pelepasan sementara buat syarikat tersenarai

 

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia akan memberi lebih masa kepada penerbit tersenarai untuk menyediakan penyata kewangan syarikat dan pelan penyusunan di tengah-tengah pandemik COVID-19. 

 

Dalam kenyataan hari ini, badan pengawal selia itu berkata, tempoh pelepasan sementara itu adalah sebahagian daripada tambahan langkah yang diumumkan pada 2020. 

 

"Terdapat langkah lanjutan automatik selama sebulan bagi penerbitan laporan suku tahun dan tahunan bagi Pasaran Utama dan ACE. 

 

"Ini termasuk penyata kewangan tahunan diaudit dan pertengahan tahunan bagi Pasaran LEAP," katanya.  

 

Dokumen-dokumen ini akan tamat tempoh masing-masing pada 28 Februari, 31 Mac dan 30 April 2021. 

 

Tambah kenyataan itu, meskipun dilanjutkan sebulan, penerbit tersenarai diingatkan supaya mematuhi tuntutan obligasi di bawah Syarat Penyenaraian termasuk membuat pengumuman segera mengenai sebarang maklumat penting bagi memastikan pemegang saham dan pelabur mempunyai akses kepada maklumat tersebut pada waktu yang tepat.

 

Selain itu, terdapat juga tempoh pelepasan diberikan kepada penerbit tersenarai yang berdepan kedudukan kewangan tidak memuaskan dan tahap operasi tidak mencukupi.

 

"Penerbit tersenarai yang membuat pengumuman antara 1 Januari dan 30 Jun 2021, bahawa mereka mempunyai operasi atau perniagaan tidak signifikan akan diberi tempoh pelepasan 12 bulan untuk menilai semula keadaan sebelum membuat sebarang pengumuman," katanya. 

 

Di samping itu juga, terdapat rombakan tempoh masa bagi 24 bulan berbanding 12 bulan bagi penerbit tersenarai yang membuat pengumuman antara 1 Januari dan 30 Jun 2021 bahawa mereka telah menghentikan semua perniagaan atau operasi utama atau diklasifikan sebagai PN17/GN3. 

 

"Malah, disediakan juga lanjutan tempoh masa untuk penerbit tersenarai yang mencetuskan kriteria bagi kategori tersebut.

 

"Bagi penerbit tersenarai yang mencetuskan kriteria PN17/GN3 antara 17 April 2020 dan 30 Jun 2021 akan mempunyai tempoh pelepasan 18 bulan berbanding 12 bulan bagi membolehkan mereka menilai semula kedudukan kewangan," katanya. - DagangNews.com