Bursa Securities beri Capital A lanjutan masa sehingga 7 Oktober bagi menghantar pelan penyusunan semula | DagangNews Skip to main content

Bursa Securities beri Capital A lanjutan masa sehingga 7 Oktober bagi menghantar pelan penyusunan semula

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bursa Securities memberikan tambahan masa tiga bulan kepada Capital A Berhad sehingga 7 Oktober ini untuk memfailkan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa kawal selia.

 

Lanjutan tempoh itu dikemukakan oleh syarikat itu pada 30 Jun lalu.

 

Pada bulan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes dipetik sebagai berkata, cabaran untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) hampir sama besarnya dengan cabaran memulakan semula syarikat penerbangan.

 

Capital A tergelincir ke status PN17 pada Januari 2022selepas juruaudit luarnya Tetuan Ernst & Young PLT membangkitkan kebimbangan mengenai keupayaan syarikat penerbangan itu untuk meneruskan usaha berterusan dalam penyata kewangan terauditnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019.

 

Mereka juga menyuarakan kebimbangan sama selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 50% daripada modal sahamnya.

 

Capital A telah melantik RHB Investment Bank Berhad, BDO Consulting Sdn Bhd, Deloitte Corporate Advisory Services Sdn Bhd, Ernst & Young PLT, Adnan Sundra & Low dan Rakan Kongsi Strategik Providence untuk memberi nasihat mengenai pelan penyusunan semulanya. - DagangNews.com