KUALA LUMPUR 9 Mac - Pasaran tempatan petang ini mengakhiri dagangan lebih tinggi, menokok 12.97 mata untuk ditutup kepada 1,624.78 mata.
Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang bergerak dalam jajaran antara 1,612.29 hingga 1,625.22 menyaksikan 8.12 bilion saham diniagakan bernilai RM5.91 bilion.
Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 634 berbanding 551 manakala 459 kaunter tidak berubah.
Menurut Reuters, kebanyakan pasaran saham Asia meningkat dalam dagangan hari ini, menjejaki pemulihan dalam ekuiti hadapan AS berikutan penurunan hasil perbendaharaan.
Ia menyaksikan hasil perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) naik lebih rendah selepas mencapai paras tertinggi setahun pada Isnin.
Pada masa sama, penyusutan dolar AS mendorong pemulihan dalam kalangan negara mata wang Asia.
Petang ini ringgit ditutup pada RM4.1150/1220 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.1050/1100.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, FBM KLCI meneruskan kenaikan berturut-turut dan mengatasi prestasi bursa serantau pada Isnin sekali gus mengimbangi penurunan yang dialami kaunter berwajaran tinggi sarung tangan.
Jelasnya, peralihan minat pelabur kepada saham yang mencatat kenaikan ditambah dengan penjualan saham secara meluas sehingga mengakibatkan harga susut di Wall Street mungkin terus mempengaruhi sektor teknologi dalam dagangan hari ini.
"Saham pembinaan dan hartanah juga mula menyaksikan minat dagangan setelah mencatatkan prestasi tidak memberangsangkan berbanding dengan pasaran meluas," katanya dalam nota kajian seperti dilapor Bernama.
Menurut firma itu, bagi sektor tumpuan, pelabur dijangka menumpukan saham perladangan susulan harga minyak sawit mentah yang meningkat.
"Tetapi, saham yang didorong pemulihan seperti pengguna, perjudian, penerbangan dan pengangkutan mungkin terus mengundang daya tarikan memandangkan jangkitan COVID-19 semakin berkurangan," katanya. -DagangNews.com