Bursa tempatan mengukuh, ringgit ditutup rendah | DagangNews Skip to main content

Bursa tempatan mengukuh, ringgit ditutup rendah

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Pasaran saham tempatan menokok 1.04 mata kepada 1,622.89 mata ketika ditutup petang ini. 

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang bergerak dalam jajaran 1,618.98 hingga 1,627.59 mata dengan 16.5 bilion saham diniagakan bernilai RM7.23 bilion. 

 

Ia menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 697 berbanding 664 manakala 406 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0670/4.0710 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan Jumaat, pada RM4.0580/0620.

 

Fitch Ratings, Jumaat lalu menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada 'BBB+' dari 'A-' yang menyaksikan ringgit kembali diniagakan rendah pagi ini, pada RM4.0830/0880.

 

Reuters melaporkan pasaran saham Asia merosot selepas mencapai kemuncak pada Isnin selepas terdapat laporan media menyatakan AS bersedia mengenakan sekatan ke atas beberapa pegawai China yang mencetuskan ketegangan geopolitik manakala harga minyak pula jatuh ekoran lonjakan jangkitan COVID-19.  

 

Penganalisis pasaran di Oanda, Edward Moya berkata, harga minyak mentah mengatasi keuntungan lebih awal berbanding pelancaran vaksin selepas Los Angeles merekodkan kes jangkitan yang tinggi manakala Korea Selatan pula meningkatkan tahap waspada.  

 

"Langkah sekatan dan perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia dilihat mengekalkan harga minyak mentah dalam tempoh jangka masa pendek," katanya dalam laporan Reuters. 

 

Sementara itu, Hong Leong IB Research berkata, berikutan penembusan teknikal yang kukuh melepasi paras rintangan 1,618 mata minggu lalu, indeks KLCI bersedia untuk menghadapi penggabungan pengambilan keuntungan. 

 

Katanya, ini memandangkan adanya momentum pembelian berlebihan (meningkat 170 mata asas daripada serendah 1,452 mata pada 2 November lalu) dan kebimbangan terhadap ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik tersebut walaupun wujud keyakinan terhadap vaksin COVID-19. 

 

"Dalam masa sama, ekonomi suku keempat juga dijangka lemah (selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat) dan jualan mendadak selepas Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia kepada BBB+ daripada A, Jumaat lalu," katanya. - DagangNews.com