Bursa tempatan, ringgit mengukuh | DagangNews Skip to main content

Bursa tempatan, ringgit mengukuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Pasaran tempatan melonjak 19.19 mata kepada 1,597.58 mata ketika ditutup petang ini apabila meningkatnya keyakinan terhadap prospek pemulihan ekonomi global. 

 

Indeks FBM KLCI itu yang naik 1.22% menyaksikan jajaran bergerak antara 1,582.31 hingga 1600.20 mata dengan 8.91 bilion saham diniakan bernilai RM4.22 bilion. 

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 653 berbanding 496 manakala 483 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup pada RM4.0840/0890 berbanding dolar AS, lebih tinggi berbanding penutupan semalam, RM4.0850/0880.

 

Reuters melaporkan, pasaran saham di seluruh dunia naik ke paras tertinggi pada Rabu, berikutan lonjakan semalaman yang menyaksikan penanda aras Dow Jones memecah rekod 30,000 buat pertama kali memandangkan para pelabur optimis terhadap prospek global. 

 

"Ia bermula dengan peralihan Joe Biden yang baru memenangi pilihan raya presiden AS dan keyakinan vaksin COVID-19 akan disediakan lebih awal secara tidak langsung meningkatkan pasaran saham global," katanya. 

 

Sementara itu, Hong Leong IB Research berkata, walaupun rekod semalaman Dow Jones kukuh dan lonjakan 3.9% harga minyak Brent akan memberi rangsangan kepada bursa tempatan tetapi sebarang lonjakan teknikal mungkin berlegar antara 1,600 hingga 1,618 mata di tengah-tengah zon pembelian berlebihan. 

 

"Keadaan ini disebabkan pasaran masih dibelenggu beberapa kebimbangan terutama jangkaan PKPB mungkin dilanjutkan akan terus menjejaskan pertumbuhan ekonomi apabila kadar jangkitan COVID-19 sukar dikawal. 

 

"Dalam masa sama, pelabur juga masih berhati-hati menunggu keputusan pengundian usul Belanjawan 2021, esok," katanya. - DagangNews.com