Bursa tempatan, ringgit terus melonjak | DagangNews Skip to main content

Bursa tempatan, ringgit terus melonjak

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Pasaran tempatan naik 7.86 mata untuk ditutup kepada 1,654.39 mata petang ini. 

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang bergerak dalam jajaran 1,647.65 hingga 1,658.07 mata menyaksikan 8.07 bilion saham diniagakan bernilai RM4.82 bilion. 

 

Kaunter rugi mengatasi untung pada 644 berbanding 568 manakala 462 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0560/0600 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, pada RM4.0620/0660. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, dalam kalangan komponen FBM KLCI, CIMB menerajui kaunter untung apabila melonjak 5.7% manakala MISC pula mendahului kaunter rugi dengan sahamnya menyusut 2.7%. 

 

Dari segi sektor, katanya, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 1.7% hari ini disokong harga saham CIMB apabila ia merancang untuk keluar daripada pembiayaan arang batu, menandakan perancangan kumpulan yang lebih mesra alam sekitar. 

 

"Indeks Tenaga pula diseret turun 2% apabila Pentadbiran Maklumat Tenaga melaporkan hari ini, inventori minyak mentah meningkat sehingga 15.2 juta tong bagi minggu berakhir 4 Disember, selepas membuat pengurangan 700,000 tong bagi minggu sebelumnya," katanya.  

 

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota kajiannya berkata, peniaga memantau saham-saham yang berkaitan pemulihan ekonomi dengan mengambil kira aktiviti yang kembali beroperasi seiring meningkatnya keyakinan terhadap vaksin COVID-19. - DagangNews.com