Busana era 60-an, etnik tema penyeri sambutan Hari Malaysia 2022 di Melaka | DagangNews Skip to main content

Busana era 60-an, etnik tema penyeri sambutan Hari Malaysia 2022 di Melaka

MELAKA 2 Sept - Busana pakaian era 60-an dan etnik dipilih menjadi tema penyeri sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Banda Hilir di sini pada 16 September 2022.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, elemen tersebut dipilih bagi mengimbau nostalgia sewaktu penubuhan negara ini melibatkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah).

 

"Lebih istimewa apabila sambutan kali ini diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, iaitu tapak bersejarah yang merupakan lokasi pengisytiharan kemerdekaaan negara sebelum ia disambut di Kuala Lumpur.

 

"Untuk itu, tetamu khas dan pengunjung digalakkan mengenakan busana tradisional dan etnik masing-masing terutama yang bersifat silam," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mesyuarat jawatankuasa induk peringkat kebangsaan sambutan Hari Malaysia 2022 di Seri Negeri, hari ini, lapor Bernama.

 

Annuar berkata, buat julung kalinya sambutan Hari Malaysia diadakan di tempat terbuka selepas pandemik COVID-19 kerana sebelum ini, ia berlangsung di tempat tertutup.

 

melaka

 

"Untuk props (hiasan) kita serahkan kepada penganjur negeri dan sudah pasti akan memaparkan ikon-ikon utama Melaka tanpa meminggirkan ciri-ciri keterlibatan negeri-negeri lain.

 

"Saya percaya kehadiran tetamu terhormat yang dijangka seramai 2,000 orang termasuk Perdana Menteri, Primier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah yang akan tiba dengan perarakan beca, iaitu ikon Bandaraya Melaka, bakal menyerikan malam sambutan,” katanya sambil menjangkakan puluhan ribu pengunjung akan hadir.

 

Menurut beliau beberapa acara akan dilangsungkan secara adat tradisional termasuk sesi ketibaan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan acara simbolik menandatangani buku peringatan pengisytiharan Hari Malaysia. - DagangNews.com