KUALA LUMPUR 16 Mac - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa butir-butir pengeluaran khas sehingga RM10,000 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diperincikan dalam tempoh terdekat.
"KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli yang telah berkurangan." katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas mengumumkan kebenaran pengeluaran tersebut dan perincian mengenainya akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
Perdana Menteri berkata, kebenaran pengeluaran itu merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
"Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
"Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan," katanya.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu. - DagangNews.com