Cabaran EcoBiz Musim ke-4 Alliance Bank tawar hadiah RM10,000 | DagangNews Skip to main content

Cabaran EcoBiz Musim ke-4 Alliance Bank tawar hadiah RM10,000

 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Alliance Bank Malaysia Bhd. dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), baru-baru ini melancarkan Cabaran EcoBiz musim keempat dengan tema 'Menginspirasikan Malaysia menjadi Negara Sifar Sisa'. 

 

Cabaran EcoBiz 4 akan menggabungkan program pembelajaran komprehensif MGTC, iaitu Jana Graduan Usahawan Hijau (Jaguh) yang merangkumi tempoh 20 minggu. 

 

Para pelajar diberikan panduan dan nasihat oleh para pemimpin industri dan mentor kelestarian meliputi bidang pembangunan modal perniagaan sosial, teknologi hijau dan inovasi, perdagangan sosial digital serta sikap minda dan kemahiran peribadi insani.

 

 

alliance bank

 

 

Semasa pelancaran Cabaran EcoBiz 4 secara maya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, cabaran EcoBiz penting kerana ia membantu mengenal pasti dan membimbing para usahawan sosial muda membangunkan penyelesaian lestari untuk Malaysia. 

 

"Sepanjang 3 musim yang lalu, kita telah menyaksikan bagaimana Cabaran EcoBiz memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia untuk berinovasi dan meningkatkan kehidupan masyarakat. 

 

"Kami mahu mendengar lebih banyak idea-idea yang inovatif daripada warga muda tentang cara menangani tema tahun ini iaitu pengurusan sisa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Program pembelajaran selama 5 bulan ini dibuka kepada semua pelajar pengajian tinggi yang mengikuti pengajian di kolej atau universiti di Malaysia. 

 

Permohonan dibuka mulai 27 September 2021 hingga 23 Oktober 2021 dan para pemohon akan disenarai pendek secara berperingkat. 

 

Hanya 10 pasukan terbaik yang akan dipilih untuk menjalani latihan dan bimbingan selama 20 minggu menggunakan sukatan Jaguh dengan para finalis berpeluang membentangkan projek mereka kepada para juri. 

 

Pasukan yang menang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, manakala naib juara pertama dan kedua masing-masing akan membawa pulang RM5,000 dan RM3,000. Tujuh pasukan lain akan menerima RM1,500 setiap satu.

 

Sebanyak 10 pasukan pemenang ini akan menjalani program enam bulan meliputi cara meningkatkan jualan, penglibatan pelanggan serta topik perniagaan penting lain selepas berakhirnya Cabaran EcoBiz. 

 

Secara keseluruhan, Cabaran EcoBiz telah menjangkau lebih daripada 3,600 pelajar universiti di 7 buah negeri dengan mengumpulkan hampir 500 penyertaan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), MGTC diberi mandat untuk menggalakkan teknologi hijau, mengurangkan perubahan iklim dan meningkatkan gaya hidup hijau. 

 

"Kami percaya bahawa para belia memiliki potensi yang tinggi untuk membawa perubahan dalam masyarakat menerusi idea-idea yang kreatif dan menarik. 

 

"Untuk itu, kami telah memperkenalkan pendekatan Jaguh untuk membimbing perusahaan, peluang pekerjaan dan usahawan hijau daripada kalangan graduan," katanya. - DagangNews.com