Cadangan kenaikan gaji minimum diramal tingkatkan kos operasi sektor perladangan, percepat proses automasi - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Cadangan kenaikan gaji minimum diramal tingkatkan kos operasi sektor perladangan, percepat proses automasi - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Cadangan kenaikan gaji minimum akan meningkatkan kos operasi sektor perladangan Malaysia dan mendorong syarikat berbelanja lebih banyak untuk mempercepatkan proses automasi, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Kementerian Sumber Manusia dijangka mengemukakan cadangan kenaikan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 berbanding RM1,500, lapor Nanyang Siang Pau, memetik sumber tidak dikenal pasti.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos operasi syarikat perladangan diramal meningkat sehingga 30%.

 

 

"Gaji minimum yang lebih tinggi akan mendorong industri yang berpaksikan buruh untuk memperuntukkan modal tambahan bagi membeli robot, dron dan jentera khusus dalam usaha mengurangkan pekerja pada masa hadapan. 

 

“Ia juga boleh membantu mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing, di mana kuota pengambilan baharu terus dibekukan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kerajaan akan melihat semula gaji minimum tahun ini di bawah undang-undang yang mewajibkan semakan semula sekurang-kurangnya dua tahun sekali. 

 

Semakan terakhir dilaksanakan pada Mei 2022 menetapkan gaji minimum bulanan RM1,500 terpakai kepada semua sektor di seluruh negara bagi majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja.

 

Selama beberapa dekad, Malaysia sangat bergantung kepada buruh asing yang murah untuk bekerja di ladang-ladang, sebahagian daripadanya berada di kawasan yang tidak rata atau berbukit.

 

Semakan PublicInvest menunjukkan, pekerja am seperti kakitangan keselamatan, kerani pentadbir, tukang kayu, pemandu dan mekanik yang berada di bawah gaji RM1,500 kebiasanya merangkumi kira-kira 15% hingga 20% daripada jumlah tenaga kerja.

 

"Ia juga akan memberi kesan ke atas gaji yang lebih tinggi. Bagaimanapun, kesannya boleh diabaian jika ia boleh diterjemahkan kepada produktiviti yang lebih tinggi," katanya.

 

Sebagai alternatif, sesetengah syarikat 'secara beransur-ansur' menukar pekerja am bergaji setiap jam dengan bayaran berdasarkan prestasi, kata firma penelidikan itu. 

 

"Ini juga akan membantu memacu produktiviti keseluruhan kumpulan setara dengan gaji yang lebih tinggi," katanya.

 

Buat masa ini, rumah itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan.- DagangNews.com