Cadangan larangan vape bakal jejaskan usahawan, pekerja industri - MRECA | DagangNews Skip to main content

Cadangan larangan vape bakal jejaskan usahawan, pekerja industri - MRECA

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seharusnya memberi fokus kepada pelaksanaan peraturan untuk industri vape yang telah lama tertangguh dan bukannya membuat cadangan baharu yang akan memberikan kesan kepada usahawan tempatan dan juga pekerja dalam industri vape, menurut Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA).

 

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, industri vape kini berada di dalam ketidaktentuan atas kegagalan KKM untuk mengutamakan pelaksanaan peraturan dan penyeliaan industri vape. 

 

"Walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan cukai untuk cecair vape yang mengandungi nikotin mulai 1 Januari 2022, ia bagaimanapun tertangguh 4 bulan kerana KKM masih enggan melaksanakan peraturan secepat mungkin. 

 

"KKM perlu memberikan keutamaan kepada pelaksanaan peraturan kawal selia industri vape terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Adzwan berkata, MRECA menganggarkan kelewatan dalam melaksanakan peraturan kepada cecair vape juga mengakibatkan kerajaan kerugian hasil kutipan cukai melebihi RM750 juta setahun.

 

"Ekoran penangguhan dan kelewatan pelaksanaan peraturan oleh KKM ini, dianggarkan kerajaan menanggung kerugian sekitar RM62 juta setiap bulan daripada kegagalan untuk mengutip cukai," katanya.

 

Beliau berkata, cadangan KKM untuk melarang penjualan vape bersama rokok walaupun kedua-dua produk tersebut adalah berlainan seumpama mengistiharkan perang kepada industri tempatan vape terutamanya kepada 3,000 usahawan tempatan dan 15,000 pekerja dalam industri itu.

 

“KKM janganlah terburu-buru hendak bereksperimen dengan larangan penjualan vape melalui cadangan Generation End Game. Ini akan memberikan tamparan yang hebat kepada usahawan tempatan dan pekerja dalam industri ini. 

 

 

mreca
Datuk Adzwan Ab Manas

 

 

"Malah ia juga akan memberikan mesej yang salah kepada pelabur domestik dan asing terutamanya dalam industri lain seperti minuman bergula, alkohol yang juga boleh dikenakan dengan peraturan yang sama tanpa menghiraukan hak golongan yang telah dewasa dalam membuat pilihan,” katanya.

 

Katanya, sepanjang tempoh itu pihak industri tidak dipanggil untuk terlibat secara langsung dalam perbincangan mengenai cadangan tersebut dan pihak industri tempatan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

 

“Larangan penjualan vape kepada sesiapa yang mencapai umur dewasa adalah bertentangan dengan pendekatan yang diambil di negara maju seperti di United Kingdom dan New Zealand yang menerima pakai konsep pengurangan kemudaratan tembakau dengan mempromosikan penggunaan vape untuk mengurangkan kadar merokok.

 

“KKM harus telus dan mengambil kira potensi produk vape dalam membantu perokok berhenti merokok dan bukannya mengkategorikan vape dan rokok sebagai produk yang sama sehingga menghalang penjualannya,” katanya. - DagangNews.com