KUALA LUMPUR 20 Dis - Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) menandatangani perjanjian kolektif (CA) baharu dengan AmBank (M) Bhd dan HSBC Bank Malaysia Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif SBEU, Andrew Lo berkata, perjanjian dengan AmBank meliputi tempoh dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026 termasuk pelarasan gaji 9% hingga 13% bertarikh 1 Januari 2024.
“CA ini termasuk insentif pemerkasaan RM2,000, Bantuan Festival RM1,800 dan elaun lain yang kini dipertingkatkan secara purata 10% hingga 30% dinikmati ahli SBEU.
“Manfaat lain seperti subsidi penjagaan kanak-kanak dan perubatan hilang upaya akan meningkat sehingga 38%, manakala cuti bersalin kini dipanjangkan kepada 98 hari,” kata Andrew dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, SBEU juga menandatangani CA serupa dengan HSBC Bank 10 Disember 2024 bagi perkhidmatan pelanggan jurubank bank di Sarawak bagi tempoh 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2025.
“CA ini akanmemperuntukkan semakan gaji 10% sehingga 12%, insentif pemerkasaan, bantuan festival serta menambah manfat dan elaun sedia ada.
“Gaji maksimum kini sehingga RM9,246. Dengan elaun dan bonus lain, pendapatan bulanan ahli SBEU dengan mudah boleh melebihi RM10,000,” kata Andrew.
Beliau berkata, kedua-dua perjanjian itu menekankan kenaikan tahunan dan bonus berasaskan prestasi, sejajar dengan permintaan dinamik sektor perbankan, termasuk cabaran yang ditimbulkan oleh teknologi yang berkembang dan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI).
“Ahli kami komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab tambahan bagi menambah nilai kepada pekerjaan kami dan ke arah memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan standard dan integriti tertinggi.
“SBEU percaya dalam menyediakan kepimpinan yang bertanggungjawab, sambil juga mencari ganjaran yang adil dan saksama untuk usaha ahli kami.
"Kami menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh bank, dalam memperkasakan pekerjaan, dalam latihan dan peluang pembangunan kerjaya," kata Andrew.
Menandatangani bagi pihak AmBank ialah Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan, Rohani Mustaffa dan SVP Pengarah Wilayah Sarawak Simon Su.
Mewakili HSBC ialah Ketua Sumber Manusia, Chamila Perera dan Ketua Perhubungan Pekerja Malaysia & SEA, Seetha M Kumarasamy, manakala Presiden SBEU, Fabian Oliver Patrick Munan dan Setiausaha Agung, Joseph Kong Ying Lung menandatangani bagi pihak kesatuan. - DagangNews.com